Khamis, 29 Mei 2014

XI

Nyamannya hatiku adalah umpama getir-getir seorang kelasi dalam sebuah kapal yang sedang karam dengan perlahan.

Selasa, 27 Mei 2014

only you

I'm a Cartesian who's willing to give myself away. Time, thoughts, soul - all of it. 

Just for you.

israk mikraj

Dan setiap tahun, manusia meraikan usianya yang semakin mendekat dengan kematian.

Sabtu, 24 Mei 2014

Jumaat, 23 Mei 2014

IX

Aku adalah Ada, dan Ada adalah Waktu, dan kamu adalah keseluruhannya.

Selasa, 20 Mei 2014

surat buat Aletheia

Buat duniaku yang senantiasa mencemaskan,

Ketahuilah ketika aku sedang menuliskan surat ini, aku sedang bersendirian ditemani angan-angan yang rapuhnya seperti kayu yang sedang dimakan oleh anai-anai. Ia berlangsung serentak tanpa ada senjang-senjang yang memisahkan antara keduanya -- aku, juga kamu, serta makna-makna yang runtuh di hadapan kita berdua.

Ingatkah kamu akan kisah yang pernah aku ceritakan kepadamu lama dahulu? Kisah tentang seorang gila yang tidak putus-putus menempik zamannya yang kosong ini. Teriakan si gila itu -- jika kamu masih mengingatinya -- disahut dengan derai tawa mereka yang berada di sekelilingnya. Ah, masakan ia tidak diketawakan. Si gila itu membawa suatu khabar yang langsung tidak masuk akal.

"Kita semua... para pembunuh Tuhan." Tuduhan, sekaligus pengakuan yang dibawa oleh si gila tersebut mengungkapkan tentang zaman yang kehilangan ruhnya. Lebih tepat lagi, ia menengking manusia-manusia yang penuh dengan gejolak-gejolak keinginan tetapi tidak sekalipun pernah cuba untuk memahaminya. Manusia-manusia jalang ini membina pengertiannya di sekeliling timbunan-timbunan jasad kaku yang menjaja dongeng-dongeng kebenaran yang tidak langsung pernah ditemukan hakikatnya.

Aletheia,

Kata-kata si gila itu ada benarnya. Zaman ini adalah zaman yang tidak beragama, ia kosong sekosong-kosongnya. Sebuah lohong hitam yang menelan semua kesunyian sehinggakan yang tertinggal cumalah kebisingan-kebisingan yang membingitkan. Aku, dan juga mereka. Kami semua adalah batang-batang tubuh yang dipinggirkan oleh diri sendiri -- dikerjakan sehari-hari oleh penghukum-penghukum yang membeberkan tentang 'kehidupan-kehidupan' yang seharusnya diikuti untuk mencapai kebahagiaan.

Mengapa, Aletheia? Mengapa sampai begitu rumit sekali untuk mendekatimu? Seringkali, aku berfikir, dan fikiran aku melayang kepadamu. Bahkan, fikiran aku itu sendiri adalah kamu! Namun, biarpun demikian, kamu tetap menjadi hal yang berada di luar diriku. Sehinggakan kadangkala; nafasku ini tidak dihela olehku, air mata ini adalah daripada kesedihan orang lain, dan gementar yang hinggap ini tidak datang dari kecemasanku sendiri.

Aletheia,

Aku menata kerinduanku kepadamu lewat doa-doa yang aku sisipkan saban malam sebelum membiarkan kesedaranku hanyut di tengah-tengah lautan tidur yang tidak berjejak mimpi. Kerinduanku adalah seperti jeritan seorang bisu yang berdiri di tengah kerumunan manusia. Begitu nyaring sekali sehinggakan kebisingan-kebisingan yang tidak punya nurani itu turut tersentak dan bungkam. Kerinduanku juga umpama desir angin yang menyapu telingamu. Ia melewatimu dengan senyap seraya menyampaikan pesan-pesan kesedaranku sebelum lenyap bersama kesunyian.

Kamu merupakan puisi yang menyanyikan dirinya sendiri lewat bahasa yang bertutur tanpa memerlukan sepatah kata pun didalamnya.

Kerana kamu, adalah Aletheia.

Jumaat, 16 Mei 2014

Selamat Hari Guru!

Dua hari ini (14 dan 15 Mei) merupakan hari yang panjang, sangat panjang saya kira. Bukan tentang tempoh masa yang saya katakan di sini, tetapi hal-hal yang sangat tiba-tiba sifatnya. Tentu sekali, ia bukan lah sesuatu yang janggal kerana hidup memang penuh dengan ketiba-tibaan.

"Cuma 20 tahun, dan aku sudah sesedih ini. Entah apa lah yang nenek rasa, kan? Hampir seumur hidupnya adalah untuk datuk," adikku menyoal ringkas. Perjalanan saya ke Kuantan semalam sememangnya tidak langsung terlintas dalam perancangan -- sepupuku menolak untuk ikut sama pulang bersama adik.

"Pasti kosong," saya membalas pendek.

Rutin bagiku, adalah hal yang melelahkan. Menurut aturan-aturan rutin membuatkan kita langsung menjadi banal -- terhisap dalam tuntutan-tuntutan keseharian yang tidak pernah surut. Oleh kerana itu, saya seboleh-bolehnya akan mengelak daripada terjerumus dalam sebarang bentuk hubungan yang mengikat -- yang menuntut waktu kepunyaan saya. Jadi, tidak hairan juga jika saya masih lagi bergelut dengan jam-jam kredit yang masih lagi tidak mencukupi pada waktu-waktu genting sebegini.

Namun, saya kira, lain halnya dengan mereka yang sedang bercinta. Waktu -- tentu sekali, bukan waktu palsu yang biasa kita hadapi sehari-hari -- mereka adalah juga waktu temannya. Waktu yang asli, adalah Ada itu sendiri, dan Ada bermaksud diri sendiri. Lantas mereka yang berkongsi waktu untuk temannya, bermaksud juga berkongsi dirinya dengan teman tersebut. Kesedarannya adalah kesedaran temannya, begitu juga sebaliknya. Kehilangan teman, boleh saja mengunjuk kepada hilangnya kesedaran seseorang. Barangkali, itu sebabnya wujud mereka yang hilang akal kerana cinta, kerana kesedarannya sudah mati.

Kematian adalah hal yang mengharukan, tetapi ia tidak langsung terkandung kesedihan. Ah, kematian  sememangnya tidak patut untuk disedihkan! Bagiku, yang menyedihkan adalah "suasana" kematian, bukan lah kematian itu sendiri. Manusia, seperti yang ditulis Heidegger, tidak sahaja hidup-dalam-dunia, tetapi ia memukimi dunia. Manusia menemukan kewujudannya dengan mendunia, terjun ke dalam keseharian yang menyesakkan. Pertemuan dengan manusia-manusia lain tidak saja berlaku dengan begitu sahaja tetapi melibatkan persentuhan-persentuhan yang mengesankan antara satu dengan yang lainnya. Lantas, apabila seseorang itu meninggalkan dunia ini, jejak-jejaknya tertinggal dan memberkas dalam diri mereka yang bersentuhan secara intim dengannya.

Jejak-jejak ini dapat ditemukan dalam setiap tempat yang pernah dimukiminya. Jejak ini tidak sahaja ada dengan begitu sahaja, tetapi dikerjakan dengan mereka yang lain secara bersama. Justeru, hal yang tertinggal lewat pengerjaan ini adalah ingatan -- yang sentiasa melekat dan tertinggal dalam setiap jejak yang terhasil. Hal ini menjelaskan tentang "suasana" yang mengewap dalam rumah tersebut. Ingatan-ingatan yang terhasil tidak terpadam bersama perginya tubuh tersebut, tetapi tertinggal di setiap penjuru rumah. Kesedihan hadir lewat ingatan yang dikerjakan bersama dengan ia-yang-sudah-pergi. Begitu juga halnya dengan kegembiraan, dan setiap apa yang dapat kita rasakan. Ia terhasil secara bersama, dan mampu untuk terus langsung walau tanpa pasangannya.

Sepanjang ingatanku, datuk adalah seorang guru yang sentiasa menyampaikan pesan kepada anak cucunya. Setiap kali rumah tersebut terpenuh, dia akan memanggil kami semua dan berpesan tentang tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebagai seorang manusia. Pesan yang kami pegang supaya tidak lemas dalam keseharian yang dilewati saban hari.

Selamat hari guru, datuk. Semoga mengecap bebas di sana.

Rabu, 14 Mei 2014

VIII

Katakan lah, tentang seorang pendusta yang sentiasa berbicara akan kebenaran.

Selasa, 13 Mei 2014

dan kesedaran adalah kamu

"Laila, detik kegemaranmu sudah hampir."

Matahari beransur perlahan -- menitip kegelapan yang dikit-dikit. Senja adalah detik yang merentang antara panorama pegun yang sentiasa bertukar-tukar wajahnya. 

"Lukisan yang paling cantik ialah lukisan yang dicuri dari tuannya," Laila memetik ungkapan yang pernah dibacanya entah dari mana atau di mana. "Lihatlah palit-palit warna garang yang semakin berubah tonanya. Ah, sungguh ajaib sekali!"

Suasana tidak pernah berubah. Hal yang sering berubah setiap kali cumalah hati yang tidak pernah henti berbolak-balik. Laila menyedari semua itu, tetapi manusia tidak terciptakan lewat apa adanya, kerana manusia tidak pernah pun berada.

"Pernahkah kau terdetik untuk meninggalkan dunia ini dengan kerelaanmu sendiri?" Laila memandangku dengan curiga. "Sungguh aneh sekali kita ini. Berjalan, tapi tidak pernah berjejak. Bernafas, tapi tidak pernah pula hidup."

Ruwet-ruwet yang Laila patahkan itu tidak mendapat anggukan daripada aku. Barangkali Laila tidak menyedarinya. Hela yang dilepaskan tidak pernah gagal untuk disambut oleh aku. Dan barangkali juga, Laila, seperti mereka yang lain, tidak pernah cuba untuk mengerjakan seorang kemanusiaan.

"Ah, betapa asing sekali menempelnya sebagai seseorang. Siapakah dia? Aku pasti, dengan menendangnya ke tepi begitu saja, kau tidak akan pernah mampu untuk mengenalinya," sekali lagi, Laila berbicara rumit. "Bagaimana mungkin kau menemukan erti dengan menolak maksudnya sendiri?"

Serentak dengan pertanyaan Laila tersebut, matahari langsung menghilang. Kegelapan adalah kebebasan, dan persamaan antara keduanya ialah -- ianya mengundang ketakutan. Namun, ketakutan bukan apa-apa jika hendak dibandingkan dengan hal yang terselubung didalamnya. Lebih gelap dari kegelapan, wujud sesuatu yang menggugah kesedaran. Itu lah kecemasan.

"Ingkar adalah perlakuan yang menegaskan keberadaan kau. Berbuat demikian menandakan bahawa kau masih ialah kau, walau sekecil manapun keingkaran itu," mata coklat Laila penuh pengharapan. "Sampai setakat mana kebenaran itu boleh ditangguhkan?"

Kebeningan Laila sedikit menyentakku dari lamunan. Aneh, penegasan yang dilakukannya membuatkan Laila menjadi semakin jelas dihadapanku. Kewujudan adalah kehampaan. Untuk wujud adalah untuk mencipta maksud -- lewat maksud-maksud yang kita temukan dalam getir-getir pertemuan kita bersama kesendirian.

"Dan bagaimana mahu kau jelaskan rasa yang memberontak ini? Seolah dadaku sampai hendak terkopak diterjangnya," buat pertama kalinya, Laila kelihatan bingung. "Gila, sungguh menggilakan."

"Ah, Laila. Matahari sudah hampir terbit. Sampai ketemu lagi, Waktu-ku."

Sabtu, 10 Mei 2014

terbang lah kupu-kupu

Terbang lah kupu-kupu terbang bersendiri
hinggap di mawar layu melampir sanubari
biarkan aku biar aku terus begini
bungkam kaku bergulir sunyi.

Terbang lah kupu-kupu terbang berpasangan
terpenuh dengan madu gembira berkejaran
semuanya kamu semuanya kesedaran
bersama aku menjadi keseluruhan.

Terbang lah kupu-kupu terbang berkelana
menangkap sepoi bayu bersimpuh bunga
apakah aku apakah kesemuanya
menjadi derai debu di hadapan dunia.

Terbang lah kupu-kupu terbang bersamaku
bersetubuh dengan waktu menghambat buntu
ajarkan aku bahasa cinta mu
kerana pada kamu terletak duniaku.

VII

Kesedaran yang menggugah kesedaran. Cinta sememangnya gila dan menggilakan.

Khamis, 8 Mei 2014

VI

Apa rasanya untuk duduk dan berbicara dengan diri sendiri? Pasti ianya mencemaskan!

Selasa, 6 Mei 2014

V

Di hadapan kamu, falsafah bertukar menjadi tidak lebih sekadar teks-teks akademik yang kering dan membosankan.