Isnin, 27 Ogos 2012

sekali lagi

Setiap masa, kamu itu hadir dalam aku. Sejenak, kamu itu muncul menemui aku. Seketika, kamu itu duduk di sebelah aku. Sesaat, mata aku menangkap lirik mata kamu.

Ya. Mata jernih yang bercahaya. Buat aku terpesona. Tak jemu aku merenungnya.

Siapa kamu? Apa yang telah kamu lakukan pada aku?

Kerna rasa itu terlalu kuat meski aku cuba untuk menafikannya. Aku kira, aku ini sudah penat berlari. Berlari dari kamu. Semakin aku cuba menjauh, semakin kamu rapat dengan aku. Makin laju aku berlari, makin kuat pegangan tangan kamu.

Kamu itu umpama siluet. Yang datang menyapa dan kekal berpusing dalam aku. Tidak mahu melepaskan aku pergi. Atau mungkin, aku ini yang tidak mahu melepaskan kamu? 

Entah. Sering aku bermimpi akan kamu. Kamu, empunya mata bercahaya.

Ingat lagi? Kita pernah duduk bertentang mata hampir dua jam lamanya tanpa hampir berkata kata. Pada aku, kamu mungkin bosan. Dan pada kamu, aku mungkin bosan. Serasanya, bosan bukan perkataan yang sesuai.

Asyik.

Ya. Sedikit bosan mungkin. Tapi kata tidak dapat mengungkap rasa. Kamu tahu itu kan? Tidak tidak tidak. Kita berdua tahu rasa itu. Kerna rasa tak pernah berdusta. Aku itu kamu dan kamu itu aku. Saling punya sesuatu.

"Sampai bila mahu berlari?". Soalan kamu itu buat aku kelu. Kerna aku tidak pernah cuba berlari dari kamu. Sentiasa pada kamu. Mungkin bukan sekarang, atau mungkin bukan nanti. Aku sendiri tidak pasti. Tapi jauh di lubuk hati, aku berharap masa itu akan ada untuk kita.

Boleh aku curi waktu kamu? Hanya seminit aku pinta. 
 
Masih kamu ingat tentang ini? Aku tidak mahu seminit kamu. Kalau boleh, aku mahu curi seluruh waktu kamu. Hingga sampai suatu waktu di mana aku dan kamu hanya tinggal sekujur jasad yang kaku.

Aku mahu tahu kesemua cerita kamu. Malah, aku mahu mencoret cerita aku bersama kamu. Cerita yang penuh suka dan duka. Cerita yang kamu pendamkan.

Ya. Apa kamu kira aku tidak peduli? Berfikir buat aku sedar yang aku ini wujud, berjalan di atas lapangan alam ini. Dan seringkali, aku berfikir. Dan fikiran aku itu melayang kepada kamu.

Masih ingat malam itu? Kita makan malam bersama. Aku jemput kamu dengan kaki. Sangat tidak kacak bukan? Haha. Apa pun, aku bahagia. Dan harapnya, kamu juga begitu.
 
Seminit lagi. Harap kamu bersabar ya. Tidak lama. Cuma seminit saja lagi. Beri ruang kepada aku sepertimana kamu beri sebelum ini. Tolong ya.

Seperti kebiasaan, menjengkelkan. Maaf maaf maaf. Itu tabiat buruk yang sudah sebati dan tidak boleh dikikis lagi. Mungkin. Pun begitu, aku seperti budak lelaki baik, sopan dan comel pabila bersama kamu bukan? Haha. Sebenarnya, kata yang keluar dari mulut kamu boleh tahan pedasnya. Kamu banyak membisu, tapi sangat sangat pedas. Tak tertahan nak menanggungnya.

Kamu. Aku mohon maaf. Sering mengecewakan kamu dan membiarkan kamu sendirian. Hal yang sebenar, aku ini bukan keliru. Aku percaya dengan rasa itu. Cumanya.. Entah lah. Aku sendiri tidak tahu. Aku menunggu. Dengan harapan, kamu akan memberitahu aku. Apa sebenarnya rasa itu? Apa yang aku percaya selama ini. Pada apa aku dan kamu itu berpegang?

Aku kira, kamu pasti sudah letih menunggu. Nasihat aku, kadang kita perlu juga menjadi seorang pengejar yang ghairah daripada menjadi seorang penunggu yang setia.

Sekali lagi. Sepertinya agak mustahil. Tetapi, aku mahu cuba. Mungkin bukan sekarang, mungkin bukan esok atau minggu depan. Mungkin juga bukan bulan depan atau tahun depan. Sekali lagi. Itu sahaja dari aku. 

Kerna aku percaya yang rasa itu tidak pernah berdusta pada kita berdua. 
 
 
D.

"Saya ada satu minit. Saya percaya kamu pun sama. Sekurang kurangnya, seminit saya gunakan untuk melayang. Malangnya, sebab saya baru curi seminit kamu."

Ahad, 12 Ogos 2012

Jumaat, 3 Ogos 2012

Khamis, 2 Ogos 2012

naik

Semester lepas banyak betul main, tapi keputusan meningkat. Jadi, perlu lebih banyak bermain dalam belajar baru cemerlang. Begitu?