Isnin, 21 Ogos 2017

seorang gadis yang ingin jadi penari

Tidak lama dulu, ada seorang gadis yang berhasrat untuk menjadi seorang penari.

Ketika cikgunya bertanyakan tentang cita-citanya, apa yang tergambar dikepalanya ialah bayangan dia sedang menari di atas sebuah pentas besar sambil liuk tubuhnya diikut tanpa kelip oleh pasang-pasang mata yang diam-diam mencemburuinya. 

Setia dengan citanya, dia tanpa jeda membalas pertanyaan cikgunya, "Saya mahu jadi seorang penari."

Dan cikgunya, seperti sekian orang-orang yang menganggap mereka sudah cukup makan garam, pantas mengajukan soalan kedua.

"Adakah dengan menari boleh memberikan kamu wang?"

Gadis itu tetap tidak berganjak. "Kalau wang yang diperkirakan, sudah tentu cikgu tidak menjadi seorang cikgu. Kerja cikgu ini tidaklah boleh beri banyak wang."

Cikgunya naik berang dengan jawapan gadis itu. Ujarnya, "Kamu biadap! Jaga tuturmu dengan orang yang lebih tua, tambah-tambah lagi cikgumu."

Dia langsung dihalau berdiri di luar kelas sampai habis waktu pembelajaran.