Sabtu, 31 Mac 2012

Si Murtad yang Sepi

Mari dekat wahai manusia
Duduk dengar aku bercerita
Cerita ini cerita dunia
Kisah seorang si murtad hina


Ibunya
Bapanya
Dan keluarganya..

Khusyuk bersujud menyembah Yahwe
Rela mengabdi mencari erti
Duduknya dia dalam keluarga
Diajar Taurah sedari kecil
Harapan keluarga hancur berkecai
Menjadi Rabbi tidak tertunai

Ah!
Terkutuk lah dia di siang
dan malam harinya juga
Terkutuk lah dia saat berbaring
juga saat dia berdiri
Terkutuk lah dia tika pergi
mahupun tika dia datang

Apa dosa dia?
Sekadar mengambus alur
Atau memadam garisan
Membuang sempadan
Antara hitam dan putih

Dia berdosa!
Dia manusia hina!

Dia
Melihat tuhan dalam alam
Melihat alam berupa tuhan
Melihat akal sebagai cahya
Merasa surga dengan deria

Tempelak mereka, dia murtad
Murtad apakah bagi dia
yang hidupnya semata mencari tuhan?
Kata mereka, dia sesat
Sesat apakah bagi dia
yang akalnya bebas menerawang?

Di bilik usang itu
dia duduk sendirian
Bahana satu usiran
akibat kebebasan
Di bilik usang itu juga
dia memanjangkan kesendirian
Menjengah hentian akhir
tanpa ada kabungan

Dia..
Spinoza yang diBerkati.

Cetera Enam

"Kau ni dah kenapa Bell? Muram je dari tadi."

"Tak ada apa." Balas Bell ringkas.

Is membetulkan posisi badan. Lenguh duduk di atas kerusi yang tak punya tempat untuk bersandar.

"Kau ada masalah?" Satu soalan lagi dituju ke arah Bell.

"Sikit." Masih ringkas jawapan yang diterima.

"Cerita lah. Aku dengar."

Bell mengeluh pendek. Dua harakat. "Haihh. Masalah biasa."

"Masalah apa lagi yang dia buat kali ni?" Soal Is seraya menyedut teh o' ais limaunya.

"Biasa lah. Pujuk pujuk aku. Nak ajak main lah tu."

Is mencebik. Jijik barangkali mendengarkan keluhan Bell tentang 'dia'.

"Kau tak nak tinggalkan dia?"

Bell mengeluh buat kesekian kalinya. "Tak sanggup."

"Apa yang kau sayang sangat dengan jantan tu? Dah lah menyusahkan kau. Makan pakai dia semua kau tanggung."

"Nak buat macam mana. Aku sayang dia."

Jawapan Bell buat Is terdiam. Berfikir.

"Kalau kau dah sayangkan dia, layan je lah dia. Main je kejap."

Bell meraup wajah. "Nak. Tapi aku malas lah. Dah tak ada mood nak main dengan dia."

"Dah tu, kau tak kesian ke dia? Kata sayang.." Is mencemuh.

"Iya lah. Dah setiap masa minta aku layan. Penat lah!"

"Sabar lah. Kau juga yang kata kau sayangkan dia. Dulu aku suruh tinggalkan, kau tak nak. Sekarang terima je lah."

"Haihh. Kau ada cadangan? Tolong lah aku sikit."

"Kalau aku jadi kau, aku tinggalkan je jantan tu."

"Kau tak ada cadangan lain ke nak bagi?" Ujar Bell sedikit jengkel.

"Dah tu je yang aku boleh fikir. Haa. Tu jantan kau dah datang." Is menuding ke satu arah.

Seraya itu, muncul seekor kucing hitam yang berbulu karpet berjalan perlahan dan terus melompat ke riba Bell. Menggesel manja seolah meminta sesuatu.

Bell mengeluh lagi. Kali ini enam harakat.

Rabu, 28 Mac 2012

Awan Langit Tujuh

Awan..
Berasak asak di tengah udara
Tidak berpijak di bumi nyata
Tidak juga menjulang di langit tinggi
Bergentayangan tanpa lilitan tali


Bebas bermudik tidak berarah
Terapung bersama hembusan angin
Ke utara, selatan
Timur dan barat


Aku..
Leka memerhati dari kejauhan
Setia memayungi dengan keredupan
Walau tinggi langit tujuh
Tetap bersama tika terik dan ribut


Sehingga kau katakan
Aku itu awan yang kau mahu.


- pelukis kedua

Isnin, 19 Mac 2012

Wabak Dunya

Sang liberal itu bertempik, menghamun dan mengeji sang sosial. Gegak gempita seluruh alam, memecah bayangan tradisi.

Ahad, 18 Mac 2012

Expectation

People says that expectation can give you hope, gives you will to survive. Expectation can motivate you thru thick and thin. But from what i have seen, expectation kills.

Khamis, 15 Mac 2012

Maknya Berbaju Merah di Kakilima

Dia berjalan menyelusuri kakilima yang gelap. Dari kejauhan, ternampak kilauan cahaya lampu kalimantang yang terang benderang. Deretan manusia sedang beratur menunggu giliran untuk memesan makanan. Dan di sebelah kedai itu, sebuah masjid yang tersergam indah. Cantik. Berdiri megah di tengah tengah kepadatan kota. Tapi sayang.. Masjid yang cantik itu hanya sekadar hiasan semata mata. Tidak digunakan sepenuhnya oleh umat Islam.

Dia berjalan lagi. Terbongkok bongkok menghampiri kedai tersebut. Aroma yang sungguh mengkhayalkan. Bau bau makanan yang lazat menusuk rongga hidung.

Sekonyong konyong, kelihatan tiga manusia baru melabuhkan punggung di atas kerusi. Masing masing sedang asyik melayan nafsu gelojoh. Suapan demi suapan yang penuh ghairah. Tetapi walau aromanya begitu memikat, bukan itu yang dia cari. Bukan itu yang dia tagihi.

Matanya tertancap kemas ke arah tiga kotak berbentuk segi empat yang tergeletak di atas meja pemuda pemuda tersebut. Ya. Itu yang menarik perhatiannnya. Dadah halal yang cukup mengkhayalkan. Bisa buat dia terbang tinggi melampaui langit tujuh.

Perlahan lahan dan dengan penuh berhati hati, dia menghampiri meja itu. Bau hancing yang sangat kuat menusuk hidung. Mampu buat tiga pemuda tersebut loya. Dia menghampiri pemuda berambut panjang paras leher. Mengunjukkan jarinya ke arah kotak tersebut. Tetapi pemuda tersebut kaku menahan bau, menghalaunya pergi.

Dia sedikit kecewa, tapi masih tidak berputus asa. Ketagihan yang memuncak perlu diredakan. Paru paru ini perlu diisi dengan dadah kimia itu. Mesti!

Mundar mandir, dia berjalan. Mengelilingi kawasan kedai tersebut semata mata untuk dadah itu. Bau hancing yang kuat sangat tidak menyenangkan. Beberapa pelanggan mencebik tatkala dia melepasi mereka.

Semangat dikumpul, lalu dia menggagahkan diri mencuba nasib sekali lagi. Dihampirinya pemuda berambut paras bahu tadi lalu dihulurkan dua keping not berwarna biru sambil menunjuk ke arah kotak yang masih berada di atas meja itu.

Malang. Pemuda tersebut menolak not yang dihulurkan. Tetapi hatinya melonjak kegembiraan apabila rakan pemuda itu, seorang yang agak rendah menghulurkan dadah yang sedari tadi diimpikannya.

Setelah menunjukkan isyarat terima kasih, dia berlalu pergi meninggalkan meja tersebut. Dadah yang baru dinyalakan, dihisap dalam dalam. Nikmat yang tidak terjangkau dek akal.

Semakin lama, kelibatnya semakin tidak kelihatan. Hilang ditelan pekat malam, di Jalan Kapitan Keling. Dia masih gagah menyelusuri lorong lorong gelap itu saban hari. Hanya untuk sesedut dadah kimia tersebut.

Selasa, 13 Mac 2012

Kopi Panas, Sebatang Rokok dan Pemetik Api Merah

Dia duduk di satu sudut yang terpencil di sebuah warung. Jemarinya leka bermain dengan pemetik api merah. Hujan turun dengan lebat tika itu. Sejuk.. Memang sejuk.

"Ini kopi abang." Datang seorang budak lelaki membawa kopi panas yang dipesannya sebentar tadi.

"Terima kasih, dik." Ujarnya ringkas. Matanya masih tertumpu ke arah pemetik api merah.

Langit makin galak menangis. Titis titis hujan yang banyak kedengaran berat menghempas atap zink warung. Dia duduk sambil berpeluk tubuh dalam kesejukan. Warung tersebut lengang. Hanya dia dan dua orang pelanggan yang lain sahaja yang ada. Masing masing duduk melayan kesejukan hujan.

Jarinya masih lagi ralit meraba pemetik api merah. Kadang dilirikkan pandangan ke arah pelayan bertubuh genit. "Comel." Bisik hati kecilnya.

Sejenak, dia berhenti bermain pemetik api merah itu. Tangkai gelas menjadi matlamat seterusnya. Dihirupnya sedikit kopi yang panas itu. Satu nikmat yang tidak dapat digambarkan. Minum kopi panas ketika diselebungi kesejukan hujan mampu merembeskan lendir lendir bahagia dari dalam diri. Surga..

Tapi, jika sekadar minum kopi yang adiktif itu semacam tidak lengkap. Perlukan satu perencah untuk melengkapkan nikmat surga dunia itu.

Kotak Winston Light diambil. Sebatang rokok dikeluarkan perlahan lahan, penuh kasih sayang. Pemetik api merah bakal menjalankan tugasnya yang sebenar. Ternanti nanti sedari tadi.

Rokok diletakkan di pinggir bibir, lalu dicucuh. Hembusan pertama yang tebal dilepaskan berserta satu keluhan perlahan.

"Haihhh. Bila lah aku nak berhenti merokok."

Isnin, 5 Mac 2012

Tuan empunya Awan

Mungkin kau tak perasan, atau kau rasa aku tak pernah kisah, atau kau ingat aku tak ambil peduli. Tapi hakikatnya aku sentiasa berada di sisi kau, suka atau duka.

Khamis, 1 Mac 2012

Hati Lagi

Masa makan tadi, kawan kawan perempuan aku cakap yang aku ni tak ada hati dan perasaan. Betul lah apa yang kamu semua kata tu. Aku tak nafikan.