Selasa, 29 Oktober 2013

hadiah Oktober kepada dunia

Makna tidak harus hadir lewat simbol. Manusia mencari makna dirinya sambil mencerap simbol-simbol yang ada di luar dirinya. Kedua-duanya perlu saling mengandaikan. Tanpa simbol, makna tidak dapat ditemukan, manakala simbol tanpa makna tidak lebih sekadar sebuah kesia-siaan.

Levinas menanggapi yang-lain sebagai sosok yang harus diutamakan. Kemurnian pandangan beliau sama sekali bertentangan dengan Canetti yang melihat yang-lain sebagai sebuah teror. Namun, keduanya mempunyai persamaan dalam tanggapan mereka iaitu; diri memberi makna akan keberadaannya dengan mencerap hal yang berada di luarnya.

Pengalaman merupakan hal sehari-hari yang ditempuh dalam memaknakan diri. Hari ini tentu saja berbeza dengan semalam dan esok merupakan pengalaman baru yang tak diperoleh hari ini. 29 Oktober tahun ini tidak sama dengan 29 Oktober 21 tahun yang lalu. Waktu sangat misteri. Ia sentiasa berada di samping kita tanpa membocorkan sedikit pun rahsianya. Walau sekeras mana pun kita cuba merenggutnya, Waktu tidak akan pernah gagal untuk meloloskan diri.

Barangkali jika Waktu dapat berbicara, ia akan mengungkapkan patah-patah ini dengan lantang. "Noli me tangere". "Usah genggam aku". Seperti Tuhan, Waktu tidak dapat diobjektifkan. Sebijak mana pun Einstein, beliau cuma mampu mengungkapkan Waktu dalam bentuk yang relatif tergantung. Ia sentiasa mengalir dan tidak pernah menunggu siapa dan apa pun.

29 Oktober tidak hadir sekadar sebuah tarikh melainkan sebagai sebuah makna yang terlepas dalam suatu sosok. Makna yang terus menunggu untuk dimaknai.

Selamat ulang tahun kelahiran D. Semoga masa lalu, masa sekarang dan masa hadapan menjadi milik kamu.

Isnin, 28 Oktober 2013

Leon Trotsky

Trotsky sehingga sampai nafas terakhirnya berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa revolusi kekal akan terlaksana. Soviet menghampakannya. Stalin melenyapkan semua yang pernah dikenalinya. Dan revolusi kekal idamannya runtuh bersama-sama dengan Tembok Berlin.

Pokoknya, kita harus percaya.

Sabtu, 26 Oktober 2013

Revolusi Oktober

25 Oktober, jika ditanda menggunakan kalendar Julian merupakan tarikh pecahnya revolusi Bolshevik. Munculnya sosialisme dalam bentuk yang konkrit membawa harapan akan sebuah pembebasan. 

Namun, seperti juga sebuah negara sosialis yang gagal, di hujung sebuah harapan adalah kekecewaan. Tsar dijatuhkan lantas segera digantikan dengan sosok tirani yang baru. Sosialisme yang sepatutnya tumbuh dengan murni ditanam secara paksa oleh Negara. Masyarakat nyata lebih terpinggir dari sebelumnya. Tunas-tunas demokrasi dipijak, diinjak hancur sehinggakan yang tinggal cuma sisa-sisa perlawanan yang hampir padam.

Impian kekal sebagai suatu cita yang terawang-awangan. Bagaikan meminta pengakhiran yang membahagiakan untuk sebuah antologi kekecewaan.

Mengambil iktibar 25 Oktober; revolusi tidak harus selesai. Cerita kita perlu terus diceritakan walau tanpa penceritanya, kerana ia tidak akan pernah bertemu noktah.

Semoga 'R' tidak hanya menjadi sebuah 'r' yang sia-sia.