Sudah amat jarang sekali saya menulis di sini. Sekarang masih bulan Januari; barangkali tidak terlalu lewat untuk saya ucapkan selamat tahun baru. Jadi, selamat tahun baru!
Semenjak dua menjak ini, saya rasakan penulisan saya semakin kaku -- terlalu terhimpit dengan laras-laras bahasa yang kering dan mendatar. Sudahnya, asyik mengulang rutin yang sama. Tulis-padam-tulis-padam-tulis-padam; lalu dibiarkan berhabuk di ruang draf. Sungguh merunsingkan!
Barangkali itu lah sebenarnya kehidupan. Semakin kita terbeban dengan tanggungjawab, semakin kaku dan sempit pemikiran kita. Tidak ada lagi keseronokan untuk berangan-angan. Bahkan, angan-angan itu ditegah sama sekali.
Sudah 2015, dan saya kira, saya sudah menemukan beberapa matlamat yang hendak saya capai dalam hidup ini. Pertama, untuk membina kehidupan dengan awak. Ya, awak, siapa lagi bukan?
Kedua, untuk menyingkap kenyataan tentang kehidupan kita; maksud saya, dalam konteks bermasyarakat ini. "Kerja-kerja menemukan kebenaran harus dimulakan dengan ketiadaan -- nil," begitu tulis Martin.
Jadi, dalam tempoh 10 tahun ini, saya akan cuba mempersiapkan diri dengan pengetahuan sebanyak mungkin sebelum saya meniadakan pengetahuan yang telah saya peroleh; demi menuntut kebenaran tentang kenyataan tersebut.
Siapa tahu, mungkin impian ini tidak akan tercapai. Kalaupun tercapai, ia barangkali bukan kebenaran yang saya harapkan. Cumanya, saya harap ketika hidup ini sampai ke penghabisan, saya akan tersenyum kerana telah mengerjakannya dengan sehabis mungkin.
Hidup jika tidak dikerjakan, bukan lah sebuah kehidupan. Tak begitu?