Isnin, 31 Ogos 2020

"Dari mana datangnya waktu?", tanyamu. 


Kata orang, waktu lahir dari rahim seorang ibu yang ditinggalkan suaminya. Waktu tiada berayah, cuma beribu. Dan ibunya pula seorang pelacur yang saban hari bertenggek di lorong-lorong kecil belakang pasar raya lama, mengharapkan ada penagih-penagih dengan wang lebih datang berkunjung. Ibunya tidak memilih, asalkan esok harinya perutmu terpenuh.


Kata yang seorang lagi, waktu seperti Isa. Tidak ada lelaki yang mampu menanggung waktu kerana mereka tiada kesabaran itu. Ibu... hanya ibu yang cukup cekal untuk mengandungkan waktu kerana setiap ibu dilahirkan dengan seorang kembar--cinta. "Apakah lelaki bukan makhluk pencinta?", tanyamu lagi. "Mereka hanya haiwan; dilahirkan untuk merenggut kecintaanmu terhadap yang lain."


Kemudian mencelah pula yang seorang lagi, waktu tiada beribu atau berayah. Waktu berdiri di atas kakinya sendiri. Bahkan, tambahnya, waktu hanya hadir ketika masa lampau tiada lagi tertinggal di belakang; ia mengejarmu.


Dan kaupun berlari, dan berlari, dan terus berlari... sehingga sampai pada hela nafasmu yang penghabisan, kau lantas memeluknya.

Sabtu, 29 Ogos 2020

Waktu yang diam-diam berlalu; tiada pernah dicanangkan. Mungkin oleh sekalian orang, tetapi tidak waktu itu sendiri. Kata orang, mereka yang tertinggal oleh waktu tidak mungkin lagi bersama-sama kita--di ketika ini, atau di hadapan. Dan kehilangan waktu turut mengusung beban masa lalu yang tak terungkap. "Bagaimana pula dengan mereka yang ditelan waktu?", tanyamu. "Mereka itu", jawab si tua, " ialah orang-orang yang hanya mampu menemukan dirinya lewat persinggungan dengan tempat-tempat yang menyimpan waktu-yang-abadi."

Jumaat, 28 Ogos 2020

Dalam redup matamu:

yang sayu;

yang tiada rasa;

yang tersinggung oleh waktu


Tapi masih menyimpan bara;

hangat masa lampau yang makin pudar


Tapi masih bersinar terang;

beransur malap, bagai bulan dikejar awan



Aku jadi galau

serigalamu seakan mahu menerpa.

Khamis, 27 Ogos 2020

Siapa gerangan empunya

bibirmu yang mekar membunga suria;

tiada teduh

hangat.


Dan senyum di ekor matamu?

Jumaat, 21 Februari 2020

2020

Amat jarang sekali (jujurnya tak pernah berlaku) untuk saya menyelesaikan sesebuah tulisan baik dalam apa bentukpun. Pertamanya, kerana saya fikir tidak ada keperluan untuk diselesaikan tulisan itu. Boleh jadi, sudah ada orang yang menulisnya. Atau tentu saja, ia tidak cukup memuaskan hati. Selalunya, yang kedua.

Saya secara diam-diam kagum dengan mereka yang ada keupayaan untuk menyiapkan apa yang dimulakan. Sudah tentu dalam hal ini ia merujuk kepada pertukangan kata. Bahkan, lebih kagum dengan mereka yang begitu berani menerbitkan tulisannya atas nama sendiri. Itu sebuah tanggungjawab yang jarang-jarang diperkirakan; macam orang politik berebut nak jadi YB.

Tidak ada apa yang hendak dituliskan di sini. Ya, masalah besar bagi saya ialah ada terlalu banyak resah sampaikan tidak tahu ke mana ia hendak disalurkan, atau apa yang hendak diceritakan.

Cuma memberi khabar dan menambah sisipan 2020 di tepi laman.