Jumaat, 10 Februari 2012

Sinetron Soltura : Rumah Usang Hujung Kampung Episod 3 - Nasi Lemak Kak Limah

Pak Din Trember terjaga lagi. Alam masih diselubungi kegelapan. Terkadang, kedengaran sayup bunyi cengkerik dan katak dari semak berhampiran. Pak Din cuba bangun. Kepalanya masih sakit tanpa sebab musabab yang kukuh. Dia cuba mengingat kembali apa yang berlaku.

Van buruk kepunyaannya rosak. Ya. Ada suara menegurnya dari belakang. Dia pengsan. Tiba tiba Pak Din terpandang sebuah masjid buruk yang tersergam di hadapannya. Laju memorinya berputar. Dia teringat dia dikejutkan oleh sekumpulan manusia di perkarangan masjid tersebut. Kabur kembali. 

"Ahh. Apa yang jadi pada aku ni. Di mana aku sekarang ni?"

Sedang Pak Din menggosok kepalanya yang berpinar, dia ternampak satu kilauan cahaya. Jingga kemerahan, terletak di hujung tembok masjid. Pak Din Trember berjalan ke arah sumber cahaya tersebut. Berdebar juga hatinya. Takut cahaya itu hantu barangkali. Banyak yang sudah dialaminya malam itu.

Semakin menghampiri hujung tembok masjid tersebut, Pak Din dapat melihat dengan jelas satu susuk tubuh seorang wanita sedang duduk di atas tikar yang dihamparkan. Cahaya tersebut datang daripada pelita yang diletakkan di hadapan wanita tersebut.

"Oh, jual nasi lemak rupanya." Pak Din berbisik dalam hati.

Dia menghampiri wanita tersebut. 

"Err, jual nasi lemak ke? Berapa satu ya?"

"Satu seringgit je encik." Jawab wanita tersebut. Suaranya kedengaran serak.

"Bagi saya dua bungkus." Ujar Pak Din seraya menghulurkan dua keping not RM1 yang berwarna biru.

"Terima kasih encik."

Sejurus selepas itu, Pak Din berlalu ke arah vannya. Tidak sabar untuk mengisi perutnya yang lapar. Pak Din duduk bersila di tepi van apabila ada satu suara serak menegurnya dari belakang.

"Encik.. Encik terlupa ambil duit baki."

Pak Din menoleh ke belakang. Terkejut bukan kepalang apabila memandang tuan empunya suara yang menegurnya. Pandangannya menjadi kelam. Pak Din pitam buat kesekian kalinya..


*Sambungan daripada episod 1 dan 2 Sinetron Soltura. Siapa siapa nak sambung, silakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan