Isnin, 28 Mei 2012

aku ini bukan aku itu

Duduk termenung sambil merokok, menjadi seorang yang romantis sebentar. Memandang ke depan, tapi ingatan jauh ke belakang. Memutar kembali memori memori silam mengikut susur masa secara teratur.

Melihat kembali liku liku yang ditelusuri oleh aku selaku seorang juara antara juara. Ya. Juara antara jutaaan juara yang lain. Saling berbalah, berlumba dan bersaing dalam perjuangan untuk menembusi satu kubu yang ampuh dalam menjadi seorang aku yang berdiri sekarang.

Seperti juara juara yang lain, tatanan hidup aku tidak lah lengkap, malah jauh daripada sempurna. Sangat berterabur aku kira. Kadang pernah sesekali terdetik, bagaimana jika bukan aku yang berjaya duapuluh tahun sembilan bulan dahulu? Apakah aku itu tidak seperti aku yang sekarang? Bagaimana cara aku yang itu? Adakah aku yang itu jauh berbeda dengan aku yang sekarang?

Persoalan persoalan yang timbul itu bisa buat aku sakit kepala. Pening mengukur nada hidup aku dengan aku yang itu. Ah, persetankan semua itu. Aku ini juara. Mereka itu semua gagal. Mungkin aku bernasib baik dalam pergulatan merebut tempat. Pergi mampus dengan semua itu. Ini aku, bukan aku yang itu.

Seringkali aku berfikir. Melihat ke depan, lalu menjengah ke belakang. Aku juga tidak lupa untuk melihat yang sekeliling. Bukan apa, walau aku persetankan semua yang di sekeliling tapi tak bermakna aku tak ambil pusing. Cumanya, aku jarang mahu kira. Orang kata, mulut mulut juara ini tak boleh ditutup. Orang kata lagi, kalau kau terlalu ambil pusing apa juara juara lain perkatakan, kau lebih baik pergi mampus saja.

Dalam hidup aku, aku berusaha untuk menjaga nilai diri aku dalam tiga wilayah ; Tuhan, manusiawi dan alamiah. Aku bukan seorang yang semulajadi hebat dan aku tak suka dilihat seperti itu. Mungkin kerna itu, aku tidak terlalu berusaha. Atau aku ini sememangnya seorang juara dalam bermalasan? Haha. Itu bukan perkara pokok. Bagi aku, tidak kira dalam wilayah apa pun antara tiga itu, aku perlu ada keseimbangan. Tidak terlalu melampau dan tidak terlalu kurang. Bersederhana bak kata juara juara zuhud. Ha.. Ha.. Ha..

Tapi aku tetap bersyukur. Dalam tatanan yang serba serbi kurang ini, aku masih mampu melihat. Aku masih mampu untuk merasa, mendengar dan menyentuh 'hal hal' yang aku kira, ramai juara lain tolak tepi. Cuma yang mampu aku tadah tangan pada Langit, harapnya aku tidak akan dibutakan dengan dunya hingga aku gagal melihat 'hal hal' tersebut. Jika aku turut dibutakan, maknanya aku sudah mengkhianati juara juara lain yang gugur dupuluh tahun sembilan bulan yang sudah. Demi mereka semua, aku akan terus melihat dan harapnya, aku dapat berjumpa dengan mereka suatu masa nanti.

Oh ya. Buat mak dan abah, terima kasih atas senggama kalian dahulu. Tanpa kalian, siapa lah aku ini.


pascaskrip : angka lahir aku hujungnya tujuh dan baru sampai ke pengetahuan aku sebentar tadi yang aku berkongsi horoskop yang sama dengan dewa. patut lah gagal.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan