Kebetulan. Boleh jadi, ia satu kesilapan atau mungkin juga satu ke-betul-an. Dan bagaimana suatu kebetulan itu terjadi? Itu lah kebetulan.
Aku kira, kebetulan dan takdir itu merupakan hal yang sama. Manusia hanya mampu merancang tetapi yang memungkinkan semua itu adalah kebetulan.
Jika begitu, maknanya kebetulan itu ialah Tuhan?
Mungkin ya, dan mungkin juga tidak. Kebetulan sememangnya hal yang berada di luar gapaian manusia tetapi ia tidak lah sampai kepada menyerupai Tuhan. Malah, kebetulan barangkali suatu hal tidak rasional yang rasional. Surreal.
Tak faham? Mari sini aku terangkan serba sedikit.
Kebetulan yang paling mudah - sebuah perkenalan. Manusia tidak pernah merancang untuk berkenalan dengan manusia lain yang tidak pernah mereka kenali. Ya, kebetulan! Manusia berkenalan, bertemu dan mungkin juga jatuh cinta atas ihsan kebetulan. Yang terlahir daripada kebetulan, itu lah perasaan. Dan manusia juga berpisah kerna kebetulan.
Nah. Sudah kamu nampak? Yang menjadi tidak rasional di sini adalah kebetulan. Ketika kamu menemui hal yang tidak pernah kamu fikirkan selama ini. Kamu akan menjadi resah dengan kebetulan. Resah yang melahirkan keterujaan atau boleh jadi, ketakutan. Perihal manusia ini, mereka sering gundah dengan hal yang tidak diketahui, membuatkan manusia terus mencari.
Dan rasionalnya kebetulan ini adalah apabila manusia tersebut mula mengenali hal hal yang tidak diketahuinya sebelum itu. Hal asing yang menjadi intim dengan diri. Mereka mendalami, cuba menguraikan ketidakpastian-ketidakpastian yang hadir kepada sebuah kepastian yang nyata. Dan dengan kebetulan juga, mereka mungkin akan menemui jawapannya.
Aku kira, begitu juga halnya dengan cinta. Kamu itu berkenalan dengan dia kerna kebetulan. Kamu menjadi resah, gelisah. Mahu mengenali dia yang merupakan suatu hal yang asing bagi kamu - sebuah ketidakpastian. Semakin lama, kamu dan dia menjadi intim. Mungkin masih banyak misteri yang tidak diungkai, tetapi kamu sudah mengenali dia. Kenal dalam erti kata kamu sudah faham serba sedikit tentang dia. Jadi, resah kamu itu akan beralih kepada hal hal yang lain (tetapi masih meliputi ruang antara kamu dan dia).
Mungkin, suatu hari nanti kamu berdua akan berpisah. Dan hal hal yang memisahkan kamu dengan dia juga adalah kebetulan. Kerna mungkin ia datang dari kamu, atau dia atau mungkin juga datang dari luar ruang antara kamu berdua.
Sememangnya, manusia punya pilihan tetapi pilihan manusia juga barangkali ditentukan oleh kebetulan. Dan pada aku, kebetulan bukan lah hal yang asing bagi manusia dan jangan pula kamu menolak kebetulan. Aku galau yang kamu mungkin akan terjatuh ke dalam lembah keterasingan.
Barangkali, hal yang paling betul ialah kebetulan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan