Ahad, 28 Julai 2013

ada dan tiada

Tuhan tidak harus ada, manakala manusia perlu menghilangkan Diri.

Rabu, 17 Julai 2013

titik tolak

Haruskah kita berpaling
dan memutar kembali layar silam
bagi menamakan diri kita
 
atau

mungkin saja memaku
dan melarikan pandangan kita
jauh ke depan untuk cuba menangkapnya?

Ah, betapa kita ini terlempar dalam zaman sendiri...

Ahad, 14 Julai 2013

kopi dan pasta

Malam yang sunyi seperti kebiasaannya 
berlaku pada hari hari biasa.
Lantas kesunyian yang 
sebelumnya itu menenangkan
pantas direnggut oleh mereka.

Betapa susunan lirik dan nada 
yang nyaris halus alunannya
diulang ulang sehingga menjadi sebuah harmoni 
yang celaru dan membingitkan.
Mendatar dan beragam.

Justeru untuk apa melontarkan suara?
Adakah cukup sekadar berpuas hati 
dengan mengulang ruwet ruwet remeh kehidupan?
Tentu sekali tidak!
Barangkali untuk menutup kesunyian
yang sentiasa ditanggap sebagai kosong.

Lalu kita bertanya lagi;
untuk apa kita berpasangan?
Adakah atas alasan manusia memerlukan cinta
atau sekadar pengisi kekosongan?
Dengan mudah kita menjawab;
kekosongan mampu saja diisi
walau tanpa kehadiran pasangan di sisi.

Kita seterusnya berangkat kepada ia;
adakah manusia memerlukan cinta?

Musik serta merta terhenti
dan kesemua mereka dibungkam sepi...

Selasa, 9 Julai 2013

Aku dan Yang Lain

Cinta mampu menukar sebuah penegasan kepada rayuan yang penuh perasaan.

Apabila pertama kali Aku berjumpa Kau, dengan tubuhku yang telanjang, dengan penuh ketakutan aku menjerit, "Jangan bunuh aku!". Itu merupakan satu penegasan bahawa kewujudan Aku ini tidak akan mampu direngkuh oleh Kau. Namun, lewat penegasan itu, keakuan yang menolak segala macam ketidaktahuan akan pasrah kepada kebeningan wajah yang penuh misteri. "Cintailah Aku, agar kewujudan Aku dapat dimaknai oleh Kau".

Isnin, 8 Julai 2013

agama dan rasional

Lewat Pencerahan, sejurus kesedaran dipusatkan kepada manusia; kemanusiaan yang diharapkan sebagai jalan keluar langsung menjadi gari gari yang memasung tubuh. "Apa selepas Tuhan?", begitu jeritan manusia manusia yang dahagakan kepastian. Justeru, apabila kebenaran menjadi pembenaran, penegasan terhadap akal lantas menjadi sebuah kepercayaan. Dan manusia, atas nama kemanusiaan, mula melihat "yang lain" sebagai mereka-yang-tidak-perlu-dikisahkan. Kemanusiaan akhirnya muncul sebagai sebuah naratif agung yang di dalamnya tidak terkandung walau seorang pun manusia.

Lalu adalah mustahak dalam menimbang kembali kemanusiaan, kita mencari titik persamaan yang tersorok dalam sekian banyak perbezaan antara semua.
Seperti baris baris karangan Hardiman;

Kita semua berfikir dan percaya;
berfikir dengan percaya;
percaya dengan berfikir.

Jika kepercayaan kita menghalau pemikiran,
itu pun sebuah fikiran melawan fikiran.
Jika fikiran kita menghalau kepercayaan,
itu juga sebuah kepercayaan yang menghalau kepercayaan.

Kepercayaan mencari pengetahuan,
dan pengetahuan mengukuhkan kepercayaan.

Thus Spoke Zarathustra

"Tuhan sudah dibunuh!" Jerit si gila tersebut.

Beberapa ratus tahun kemudian, mereka mengangkatnya menjadi Tuhan yang baru.

Sabtu, 6 Julai 2013