Lewat Pencerahan, sejurus kesedaran dipusatkan kepada manusia; kemanusiaan yang diharapkan sebagai jalan keluar langsung menjadi gari gari yang memasung tubuh. "Apa selepas Tuhan?", begitu jeritan manusia manusia yang dahagakan kepastian. Justeru, apabila kebenaran menjadi pembenaran, penegasan terhadap akal lantas menjadi sebuah kepercayaan. Dan manusia, atas nama kemanusiaan, mula melihat "yang lain" sebagai mereka-yang-tidak-perlu-dikisahkan. Kemanusiaan akhirnya muncul sebagai sebuah naratif agung yang di dalamnya tidak terkandung walau seorang pun manusia.
Lalu adalah mustahak dalam menimbang kembali kemanusiaan, kita mencari titik persamaan yang tersorok dalam sekian banyak perbezaan antara semua.
Seperti baris baris karangan Hardiman;
Kita semua berfikir dan percaya;
berfikir dengan percaya;
percaya dengan berfikir.
Jika kepercayaan kita menghalau pemikiran,
itu pun sebuah fikiran melawan fikiran.
Jika fikiran kita menghalau kepercayaan,
itu juga sebuah kepercayaan yang menghalau kepercayaan.
Kepercayaan mencari pengetahuan,
dan pengetahuan mengukuhkan kepercayaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan