Khamis, 22 Ogos 2013

Cetera TigaBelas

"Rin!"

Dia menoleh ke belakang. Kelihatan seorang lelaki sedang berlari ke arahnya sambil menjerit memanggilnya. Sejurus kemudian, pandangannya menjadi kelam dan langsung gelap.



Tamat.

nil

Ketiadaan juga meletakkan batas. Memagari suatu daerah yang terlarang dan tidak harus dikunjungi. Manusia menghindari ketiadaan, justeru berhimpit di dalam ruang ada - yang sama sekali menyesakkan.

Namun manusia barangkali terlupa. Tuhan itu bangkit dari ketiadaan.

Sabtu, 17 Ogos 2013

mendatar

Agama tidak menuntut keseragaman, bahkan ia memperdamai keberagaman.

Khamis, 1 Ogos 2013

antropo

Apakah manusia itu?
Suatu ketiadaan
di hadapan ketakterbatasan,
suatu keseluruhan di hadapan ketiadaan,
suatu pertengahan di antara keseluruhan dan ketiadaan.

 
 
- Blaise Pascal

gadis pinafor

Lana merupakan seorang gadis yang pendiam. Rambutnya yang ikal separas pinggang itu berwarna perang keemasan dan sering dibiarkan mengurai dihembus angin. Saya sering memerhatikannya di balik dinding. Dia datang ke sekolah dengan berjalan kaki. Rumahnya tidak lah pula saya ketahui di mana.
Lana duduk di hadapan saya. Sewaktu cikgu mengajar, dia akan mendiamkan diri dan menumpukan sepenuh perhatiannya, tidak seperti gadis-gadis sebayanya yang lain. Mereka lebih gemar berbual dan berbisik-bisik di dalam kelas. Sungguh menjengkelkan. Pada waktu rehat pula, Lana akan duduk di satu sudut kantin berseorangan. Dia tidak mempunyai kawan dan makan daripada bekal yang dibawanya setiap hari ke sekolah.
Tamat sahaja waktu persekolahan, Lana pasti akan kelihatan gusar dan akan segera pulang ke rumah. Pernah juga saya cuba hendak berbual dengannya tetapi niat itu saya matikan kerana saya memang seorang yang penakut. Jadi, saya cuma mampu memerhatikan Lana mengangkat begnya dan berjalan keluar dari pagar sekolah sehingga tidak kelihatan lagi.
Suatu hari, Lana bergegas pulang ke rumah sejurus loceng akhir berbunyi. Saya seperti biasa, memerhatikannya hilang di balik pintu. Namun, hari itu sangat luar biasa dan berbeza dengan hari-hari biasa yang lain. Saya terlihat ada sebuah buku berwarna biru tergeletak di atas meja Lana. Tanpa berfikir panjang, saya terus mengambil buku itu dan menyimpannya di dalam beg.
Keesokan harinya, semasa dalam perjalanan ke sekolah, saya berselisih dengan Lana. Mukanya sangat muram dan matanya kemerahan seolah semalaman menangis. Hari itu juga luar biasa, sama seperti kelmarin. Saya mendapatkan Lana dan memberanikan diri untuk bercakap dengannya. Dari mana saya memperoleh keberanian itu, tidak lah saya ketahui.
“Selamat pagi, Lana,” ucap saya gugup.
“Oh, hi. Selamat pagi juga,” Lana membalas dengan sugul.
“Kenapa awak sangat muram?” saya tidak berputus asa dan cuba meneruskan perbualan.
Tiba-tiba, Lana mula menangis, menangis dan menangis. Saya sangat terperanjat dan mula berasa cemas. “Lana, kenapa awak menangis?”
“Diari saya hilang. Oh, harapnya tidak ada sesiapa yang membacanya. Sungguh memalukan jika rahsia saya dibaca oleh orang lain!” Lana semakin kuat menangis.
“Buku biru tu diari awak ya? Saya nampak awak tertinggal di atas meja. Jadi, saya tolong simpankan untuk awak,” saya menyelongkar beg dan menghulurkan buku biru itu kepadanya.
Lana melihat saya dengan muka yang terkejut bercampur curiga. “Oh, Tuhan! Saya sangka buku ini sudah hilang. Awak baca kandungan buku ini?”
“Sudah tentu tidak. Buku biru ini rahsia awak dan saya cuma menyimpannya. Awak boleh percayakan saya. Lihat, jika saya membacanya, sudah pasti saya sudah disumpah menjadi katak sekarang,” saya cuba meyakinkannya.
Jawapan saya membuatkan Lana tersenyum. “Ya. Sudah tentu awak tak akan membacanya. Maafkan saya kerana menuduh awak,” dia mengambil buku biru itu dari tangan saya. “Mahu tak awak jadi kawan saya?”
Soalan yang tiba-tiba itu membuatkan saya sangat terperanjat. Saya cuma mampu menganggukkan kepala berulang kali memandangkan lidah saya sudah terkunci. Lana tersenyum buat kali yang kedua. Hari itu sungguh luar biasa!
Selepas dari hari itu, saya dan Lana menjadi kawan baik. Setiap hari kami akan bertemu di simpang dan berjalan bersama ke sekolah. Lana selalu menceritakan tentang taman di rumahnya yang dipenuhi dengan bunga mawar berwarna biru. Katanya, mawar-mawar tersebut sentiasa menemaninya dan menjadi rakan berbual yang menyeronokkan. Setiap kali itu juga, saya akan bertanya dengan kehairanan kepadanya, “Boleh kah mawar bercakap?”, dan setiap kali itu juga dia hanya akan tersenyum dan mengangguk.
Kehidupan saya dan Lana telah berubah. Setiap kali waktu senggang, Lana akan berpaling ke belakang dan bercakap dengan saya tentang kupu-kupu yang sering mengganggu mawar-mawarnya. Kata Lana, kupu-kupu itu sungguh nakal kerana suka mengusik mawar birunya yang pemalu. Saya pula akan mendiamkan diri dan tersenyum. Sekali-sekala, saya akan mengusiknya dengan mempamerkan mimik muka bosan. Lana akan tertawa dan memanggil saya sebagai kupu-kupu nakal.
Hubungan saya dan Lana bertambah intim sehinggakan dia menjemput saya untuk menemaninya makan di kantin pada waktu rehat. Lana membawa bekal dari rumah. Ibunya tidak mempercayai masakan yang dimasak oleh kedai. Setiap hari, ibunya akan memasakkan nugget dan dua ketul ayam goreng untuk dibawa oleh Lana ke sekolah. Hari itu, nugget yang dibawa oleh Lana berbentuk hati. Dia mengepakkannya kepada dua dan memberikan setengah daripada hati itu kepada saya.
“Nah, saya hadiahkan separuh hati saya kepada awak,” Lana tersenyum sambil menggigit baki nugget yang dipunyainya.
“Separuh saja? Saya mahu keseluruhan hati awak dan menyimpannya dalam kocek ini,” saya memegang kocek di baju yang menutupi perasaan saya.
“Ha, awak memang kupu-kupu yang nakal!” serentak dengan itu, saya dan Lana berdekit ketawa.
Pada waktu pulang, saya akan menemani Lana berjalan sehingga ke simpang yang memisahkan jalan ke rumah kami. Sepanjang perjalanan, Lana akan bernyanyi. Katanya, lagu-lagu itu dibikinnya sendiri dan saya merupakan yang kedua mendengarnya selepas mawar biru di tamannya. Suara Lana sangat merdu dan berhantu. Ia sering membuatkan saya tidak dapat tidur malam dan menarik saya untuk jatuh cinta berulang kali kepadanya.
Lana berjanji akan membawa saya ke tamannya yang dipenuhi dengan mawar biru. Dia juga mahu mengajarkan saya bahasa mawar supaya kami dapat bersama-sama menikmati persembahan orkestra daripada mawar-mawar biru kepunyaannya itu. Lana sungguh istimewa. Dia membuatkan hari-hari yang saya lalui menjadi luar biasa dengan kehadirannya. Setiap hari saya akan jatuh cinta sebanyak tiga kali dan setiap hari juga, saya akan menyimpan hati Lana di dalam kocek baju saya. Jemu merupakan satu perkara yang amat mustahil untuk terjadi apabila saya bersama dengan Lana. Ia sangat indah dan menggembirakan.
Namun, itu cerita sepuluh tahun yang lepas. Habis sahaja persekolahan, Lana telah berpindah ke Amerika. Sekarang, dia sudah punya ramai kawan dan suaranya yang berhantu itu dapat didengari oleh semua orang. Cerita saya dan Lana pula tertanam dalam melodi yang melankolik dan penuh kesunyian yang sering dinyanyikannya dalam kesedihan. Sejak dari itu, hari-hari saya yang luar biasa telah bertukar menjadi rutin-rutin yang membosankan dan tidak lagi menyeronokkan. Jika saya rindukan Lana, saya akan mengeluarkan separuh hati dari kocek baju dan bertukar menjadi kupu-kupu supaya saya dapat menari bersama mawar biru kesukaan kami.