Lana merupakan seorang gadis yang
pendiam. Rambutnya yang ikal separas pinggang itu berwarna perang keemasan dan
sering dibiarkan mengurai dihembus angin. Saya sering memerhatikannya di balik
dinding. Dia datang ke sekolah dengan berjalan kaki. Rumahnya tidak lah pula
saya ketahui di mana.
Lana duduk di hadapan saya.
Sewaktu cikgu mengajar, dia akan mendiamkan diri dan menumpukan sepenuh
perhatiannya, tidak seperti gadis-gadis sebayanya yang lain. Mereka lebih gemar
berbual dan berbisik-bisik di dalam kelas. Sungguh menjengkelkan. Pada waktu
rehat pula, Lana akan duduk di satu sudut kantin berseorangan. Dia tidak
mempunyai kawan dan makan daripada bekal yang dibawanya setiap hari ke sekolah.
Tamat sahaja waktu persekolahan,
Lana pasti akan kelihatan gusar dan akan segera pulang ke rumah. Pernah juga
saya cuba hendak berbual dengannya tetapi niat itu saya matikan kerana saya
memang seorang yang penakut. Jadi, saya cuma mampu memerhatikan Lana mengangkat
begnya dan berjalan keluar dari pagar sekolah sehingga tidak kelihatan lagi.
Suatu hari, Lana bergegas pulang
ke rumah sejurus loceng akhir berbunyi. Saya seperti biasa, memerhatikannya
hilang di balik pintu. Namun, hari itu sangat luar biasa dan berbeza dengan
hari-hari biasa yang lain. Saya terlihat ada sebuah buku berwarna biru
tergeletak di atas meja Lana. Tanpa berfikir panjang, saya terus mengambil buku
itu dan menyimpannya di dalam beg.
Keesokan harinya, semasa dalam
perjalanan ke sekolah, saya berselisih dengan Lana. Mukanya sangat muram dan
matanya kemerahan seolah semalaman menangis. Hari itu juga luar biasa, sama
seperti kelmarin. Saya mendapatkan Lana dan memberanikan diri untuk bercakap
dengannya. Dari mana saya memperoleh keberanian itu, tidak lah saya ketahui.
“Selamat pagi, Lana,” ucap saya
gugup.
“Oh, hi. Selamat pagi juga,” Lana
membalas dengan sugul.
“Kenapa awak sangat muram?” saya
tidak berputus asa dan cuba meneruskan perbualan.
Tiba-tiba, Lana mula menangis,
menangis dan menangis. Saya sangat terperanjat dan mula berasa cemas. “Lana,
kenapa awak menangis?”
“Diari saya hilang. Oh, harapnya
tidak ada sesiapa yang membacanya. Sungguh memalukan jika rahsia saya dibaca
oleh orang lain!” Lana semakin kuat menangis.
“Buku biru tu diari awak ya? Saya
nampak awak tertinggal di atas meja. Jadi, saya tolong simpankan untuk awak,”
saya menyelongkar beg dan menghulurkan buku biru itu kepadanya.
Lana melihat saya dengan muka
yang terkejut bercampur curiga. “Oh, Tuhan! Saya sangka buku ini sudah hilang.
Awak baca kandungan buku ini?”
“Sudah tentu tidak. Buku biru ini
rahsia awak dan saya cuma menyimpannya. Awak boleh percayakan saya. Lihat, jika
saya membacanya, sudah pasti saya sudah disumpah menjadi katak sekarang,” saya
cuba meyakinkannya.
Jawapan saya membuatkan Lana
tersenyum. “Ya. Sudah tentu awak tak akan membacanya. Maafkan saya kerana
menuduh awak,” dia mengambil buku biru itu dari tangan saya. “Mahu tak awak
jadi kawan saya?”
Soalan yang tiba-tiba itu
membuatkan saya sangat terperanjat. Saya cuma mampu menganggukkan kepala
berulang kali memandangkan lidah saya sudah terkunci. Lana tersenyum buat kali
yang kedua. Hari itu sungguh luar biasa!
Selepas dari hari itu, saya dan
Lana menjadi kawan baik. Setiap hari kami akan bertemu di simpang dan berjalan
bersama ke sekolah. Lana selalu menceritakan tentang taman di rumahnya yang
dipenuhi dengan bunga mawar berwarna biru. Katanya, mawar-mawar tersebut
sentiasa menemaninya dan menjadi rakan berbual yang menyeronokkan. Setiap kali
itu juga, saya akan bertanya dengan kehairanan kepadanya, “Boleh kah mawar
bercakap?”, dan setiap kali itu juga dia hanya akan tersenyum dan mengangguk.
Kehidupan saya dan Lana telah
berubah. Setiap kali waktu senggang, Lana akan berpaling ke belakang dan
bercakap dengan saya tentang kupu-kupu yang sering mengganggu mawar-mawarnya.
Kata Lana, kupu-kupu itu sungguh nakal kerana suka mengusik mawar birunya yang
pemalu. Saya pula akan mendiamkan diri dan tersenyum. Sekali-sekala, saya akan
mengusiknya dengan mempamerkan mimik muka bosan. Lana akan tertawa dan
memanggil saya sebagai kupu-kupu nakal.
Hubungan saya dan Lana bertambah
intim sehinggakan dia menjemput saya untuk menemaninya makan di kantin pada
waktu rehat. Lana membawa bekal dari rumah. Ibunya tidak mempercayai masakan
yang dimasak oleh kedai. Setiap hari, ibunya akan memasakkan nugget dan dua
ketul ayam goreng untuk dibawa oleh Lana ke sekolah. Hari itu, nugget yang
dibawa oleh Lana berbentuk hati. Dia mengepakkannya kepada dua dan memberikan
setengah daripada hati itu kepada saya.
“Nah, saya hadiahkan separuh hati
saya kepada awak,” Lana tersenyum sambil menggigit baki nugget yang
dipunyainya.
“Separuh saja? Saya mahu
keseluruhan hati awak dan menyimpannya dalam kocek ini,” saya memegang kocek di
baju yang menutupi perasaan saya.
“Ha, awak memang kupu-kupu yang
nakal!” serentak dengan itu, saya dan Lana berdekit ketawa.
Pada waktu pulang, saya akan
menemani Lana berjalan sehingga ke simpang yang memisahkan jalan ke rumah kami.
Sepanjang perjalanan, Lana akan bernyanyi. Katanya, lagu-lagu itu dibikinnya
sendiri dan saya merupakan yang kedua mendengarnya selepas mawar biru di
tamannya. Suara Lana sangat merdu dan berhantu. Ia sering membuatkan saya tidak
dapat tidur malam dan menarik saya untuk jatuh cinta berulang kali kepadanya.
Lana berjanji akan membawa saya
ke tamannya yang dipenuhi dengan mawar biru. Dia juga mahu mengajarkan saya
bahasa mawar supaya kami dapat bersama-sama menikmati persembahan orkestra
daripada mawar-mawar biru kepunyaannya itu. Lana sungguh istimewa. Dia
membuatkan hari-hari yang saya lalui menjadi luar biasa dengan kehadirannya.
Setiap hari saya akan jatuh cinta sebanyak tiga kali dan setiap hari juga, saya
akan menyimpan hati Lana di dalam kocek baju saya. Jemu merupakan satu perkara
yang amat mustahil untuk terjadi apabila saya bersama dengan Lana. Ia sangat
indah dan menggembirakan.
Namun, itu cerita sepuluh tahun
yang lepas. Habis sahaja persekolahan, Lana telah berpindah ke Amerika.
Sekarang, dia sudah punya ramai kawan dan suaranya yang berhantu itu dapat
didengari oleh semua orang. Cerita saya dan Lana pula tertanam dalam melodi
yang melankolik dan penuh kesunyian yang sering dinyanyikannya dalam kesedihan.
Sejak dari itu, hari-hari saya yang luar biasa telah bertukar menjadi
rutin-rutin yang membosankan dan tidak lagi menyeronokkan. Jika saya rindukan
Lana, saya akan mengeluarkan separuh hati dari kocek baju dan bertukar menjadi
kupu-kupu supaya saya dapat menari bersama mawar biru kesukaan kami.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan