Rabu, 13 Mei 2015

Dan fikiran tentang kamu yang tidak lagi bersamaku di masa hadapan; jadi fikiran yang merobek segala sesuatu dariku.

Isnin, 4 Mei 2015

yang diam-diam

Yang diam-diam adalah waktu;
dan kicau burung jadi tanda 
ia masih mengalir
--sedang kelupaan ditimbus ingatan.

Yang diam-diam adalah cinta;
titis-titis air berona pelangi
perlahan tapi pasti
--sedang hidup sekadar ringkis.

Ingatlah, tentang waktu yang terbenam dalam ruwet seharian.
Ingatlah, tentang cinta sebagai hal yang ditinggal-tinggalkan.

Justeru apakah kebisingan?
tanyamu.

Bising juga sentiasa diam-diam;
setimbunan sunyi yang meringkik pedih, 
rindu serigala yang tak kunjung bersahut bulan.

Dan kita?

Yang terlerai adalah kita;
ketika segalanya diam
dalam Tuhan yang tak mampu berbicara.

Sabtu, 25 April 2015

monolog

"Anna, keabadian ialah hal yang tak termiliki; sedang cinta menjadi ingatan yang diam-diam dilepaskan. Pergilah."

Khamis, 9 April 2015

the loss

I have so much things to tell;

my thoughts,
my days,
my frustrations,
my joy,
everything.

But you're not here anymore,
my love.

Rabu, 18 Februari 2015

Selasa, 27 Januari 2015

2015

Sudah amat jarang sekali saya menulis di sini. Sekarang masih bulan Januari; barangkali tidak terlalu lewat untuk saya ucapkan selamat tahun baru. Jadi, selamat tahun baru!

Semenjak dua menjak ini, saya rasakan penulisan saya semakin kaku -- terlalu terhimpit dengan laras-laras bahasa yang kering dan mendatar. Sudahnya, asyik mengulang rutin yang sama. Tulis-padam-tulis-padam-tulis-padam; lalu dibiarkan berhabuk di ruang draf. Sungguh merunsingkan!

Barangkali itu lah sebenarnya kehidupan. Semakin kita terbeban dengan tanggungjawab, semakin kaku dan sempit pemikiran kita. Tidak ada lagi keseronokan untuk berangan-angan. Bahkan, angan-angan itu ditegah sama sekali.

Sudah 2015, dan saya kira, saya sudah menemukan beberapa matlamat yang hendak saya capai dalam hidup ini. Pertama, untuk membina kehidupan dengan awak. Ya, awak, siapa lagi bukan?

Kedua, untuk menyingkap kenyataan tentang kehidupan kita; maksud saya, dalam konteks bermasyarakat ini. "Kerja-kerja menemukan kebenaran harus dimulakan dengan ketiadaan -- nil," begitu tulis Martin. 

Jadi, dalam tempoh 10 tahun ini, saya akan cuba mempersiapkan diri dengan pengetahuan sebanyak mungkin sebelum saya meniadakan pengetahuan yang telah saya peroleh; demi menuntut kebenaran tentang kenyataan tersebut.

Siapa tahu, mungkin impian ini tidak akan tercapai. Kalaupun tercapai, ia barangkali bukan kebenaran yang saya harapkan. Cumanya, saya harap ketika hidup ini sampai ke penghabisan, saya akan tersenyum kerana telah mengerjakannya dengan sehabis mungkin.

Hidup jika tidak dikerjakan, bukan lah sebuah kehidupan. Tak begitu?

Selasa, 16 Disember 2014

hidup

Kadang, aku terfikir; untuk apa manusia bersusah-susah meneruskan hidup yang amat, amat melelahkan ini?

Lepas pada pertanyaan diam aku itu, aku teringatkan perbualan-perbualan kosong yang kami lalui setiap hari.

Ya, berbaloi untuk lelah dengan kehidupan ini.