Selasa, 26 November 2013

untuk Siti

Seringkali, yang paling hampir adalah yang sentiasa mengecewakan. Namun, ia juga yang tak putus melakarkan senyuman di wajah kita.

Kesabaran tanda kemuliaan, begitu juga dengan kemaafan.
 
Maafkan saya.

"Cari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, cari perempuan yang menentang meskipun sudah mati". - Perempuan Nan Bercinta

Ahad, 24 November 2013

ragu tanpa lagu

Ribut di musim semi
Aneh sekali
 
Entah ke mana perginya langit
saat guruh silih membingit
 
Bersama derai-derai hujan yang luluh-meluluhkan
 
Ada perit dan sakit
Sekali bahagia yang terpalit
Campakkan saja rasa itu di kejauhan
 
Biar terpisah
Biar resah
 
Sepi dan sendiri dapat dimengerti
Mengapa harus pergi?

Khamis, 21 November 2013

fikiran dan fikiran

Kata Descartes, "aku berfikir, maka aku ada". Hakikat di luar tercipta melalui kesedaran manusia - yang berada di tingkat fikiran.

Namun, fikiran aku itu adalah kamu, dan hanya kamu.

Seperti kata kamu, "keberadaan kamu merupakan kewujudan aku".

Isnin, 18 November 2013

pantun orang rajin

Mana pergi si Jebat malang,
hilang perisai ditikam keris.
Setiap hari di Tun Sri Lanang,
haih, i ken dai laik dis.

Sabtu, 16 November 2013

siapa?

Setidaknya, dapat juga merasa kembali kecewa yang sudah lama tak berkunjung.

Jumaat, 15 November 2013

cinta

Cinta memang sifatnya tiba-tiba. Kita tidak tahu bila atau bagaimana ia hadir. Bahkan, kita langsung tidak menyedarinya.

Khamis, 14 November 2013

menghapus jejak-jejak kebenaran

Hakikat tidak betah dicipta lewat kesedaran manusia. Ia sentiasa diam di dalam kelubungnya, menunggu dalam ketiadaan. Kesedaran sering dilihat sebagai suatu penarikan - melahap segala apa yang ada di luar untuk diketengahkan sebagai sebuah hakikat. Barangkali cara fikir itu tidak tepat. Kesedaran sifatnya adalah melepaskan. Manusia menemukan Hakikat dengan melepaskan kesedarannya - menjadi kosong - lalu membiarkan tanggapan-tanggapan yang ada di sekelilingnya untuk bebas keluar dari persembunyian.

Hujan merupakan satu cara bagaimana Ada menampakkan dirinya. Hakikat yang ditemukan lewat kesedaran yang kosong. Hujan menyatakan dirinya saat tubuh menangkap rasa sejuk yang tak terpegang, saat rintik dan bau nyaman yang saling mengandaikan hadir menyapa. Saat itu, Ada dan Ketiadaan sama-sama merangkul dan dirangkul kesedaran. Dan ternyata, Ketiadaan tidak pernah hilang, dan Ada tidak pernah sekalipun wujud.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menempik kembali Pencerahan, bangkit dan melawan kembali Manusia yang menghancurkan tubuh-tubuh kesedaran konkrit seorang manusia.

Mungkin sudah tiba masanya untuk aku, kamu, dia dan mereka sama-sama menata sebuah kemanusiaan yang benar-benar manusiawi.

Selasa, 12 November 2013

Isnin, 11 November 2013

Angst -

Cemas merupakan sebuah perlawanan terhadap keselesaan. Manusia merupakan makhluk yang cemas - sentiasa curiga dengan alam, yang lain, malahan dirinya sendiri. Ia mengacu kepada kesedaran.

Aku cemas, maka aku ada.

Sabtu, 9 November 2013

Jumaat, 8 November 2013

Joker yang hampa

Hidup sehari-hari perlu dinikmati dengan santai. Jika terlalu serius, mungkin saja kita akan terlepas pandang akan hal-hal kecil yang membahagiakan.

Joker tidak saja berdiri sebagai satu sosok antagonis yang mengerikan. Bahkan, kengerian itu sendiri merupakan wajah sebenar manusia. Ia melambangkan seorang manusia yang tidak siap; sebuah kemenjadian yang cuba membina maknanya.

"Why so serious?"

Ungkapan ini tidak diulang-ulang secara sambil lewa. Joker mengajak kita untuk menikmati hidup dengan sepenuhnya. Bersikap lewah dan menanggapi kehidupan dengan sebebasnya.

Manusia tidak harus terbeban dengan moral, malah kita harus mempertanyakan kembali; apa itu "kebaikan" dan "kejahatan". Joker tidak langsung menimbang kedua-dua nilai tersebut. Ia menghancurkannya menjadi kosong. Nil. 
 
Di hadapannya tidak ada satu kebaikan atau kejahatan pun yang tersisa. Setiap tindakannya bukan atas dasar untuk berbuat jahat dan tidak juga untuk menentang kebaikan. Joker melakukannya kerana itu hasratnya; ia berkehendak untuk bebas. Ia tidak memerlukan satu apa pengakuan pun daripada orang lain. Keakuannya ditegaskan melalui kesedarannya.
 
Watak Joker sama sekali berbeza dengan Superman. Joker merupakan sebuah "perjalanan" - cita-cita seorang manusia menuju Manusia. Manakala Superman merupakan gambaran kepada Manusia - yang telah siap. Ubermensch. Barangkali kerana itu lah kita lebih terkesan dengan watak Joker berbanding Superman. Ia melempar kita ke dalam pergelutan sehari-hari yang sentiasa kita hadapi.

Di dalam diri Joker terkandung cita-cita yang dikongsi oleh semua manusia dengan "m" kecil. Cita-cita untuk menjadi abadi.

Selasa, 5 November 2013

November

5 November adalah simbol. Apabila ia hadir bersama 1 Muharam, alasan apa lagi yang mahu kita pakai untuk kekal menjadi banal?