Jumaat, 8 November 2013

Joker yang hampa

Hidup sehari-hari perlu dinikmati dengan santai. Jika terlalu serius, mungkin saja kita akan terlepas pandang akan hal-hal kecil yang membahagiakan.

Joker tidak saja berdiri sebagai satu sosok antagonis yang mengerikan. Bahkan, kengerian itu sendiri merupakan wajah sebenar manusia. Ia melambangkan seorang manusia yang tidak siap; sebuah kemenjadian yang cuba membina maknanya.

"Why so serious?"

Ungkapan ini tidak diulang-ulang secara sambil lewa. Joker mengajak kita untuk menikmati hidup dengan sepenuhnya. Bersikap lewah dan menanggapi kehidupan dengan sebebasnya.

Manusia tidak harus terbeban dengan moral, malah kita harus mempertanyakan kembali; apa itu "kebaikan" dan "kejahatan". Joker tidak langsung menimbang kedua-dua nilai tersebut. Ia menghancurkannya menjadi kosong. Nil. 
 
Di hadapannya tidak ada satu kebaikan atau kejahatan pun yang tersisa. Setiap tindakannya bukan atas dasar untuk berbuat jahat dan tidak juga untuk menentang kebaikan. Joker melakukannya kerana itu hasratnya; ia berkehendak untuk bebas. Ia tidak memerlukan satu apa pengakuan pun daripada orang lain. Keakuannya ditegaskan melalui kesedarannya.
 
Watak Joker sama sekali berbeza dengan Superman. Joker merupakan sebuah "perjalanan" - cita-cita seorang manusia menuju Manusia. Manakala Superman merupakan gambaran kepada Manusia - yang telah siap. Ubermensch. Barangkali kerana itu lah kita lebih terkesan dengan watak Joker berbanding Superman. Ia melempar kita ke dalam pergelutan sehari-hari yang sentiasa kita hadapi.

Di dalam diri Joker terkandung cita-cita yang dikongsi oleh semua manusia dengan "m" kecil. Cita-cita untuk menjadi abadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan