Isnin, 21 Julai 2014

satu panggilan dari cinta yang hilang

Masih kuingat lagi, malam itu begitu hangat dan berbahang. Gadisku sedang tidur di bilik; kepenatan dek seharian bekerja. Ah, dia begitu menjengkelkan kebelakangan ini. Mungkin kerana hormon yang tidak stabil. Aku seperti biasa, akan mendiamkan diri dan berbuat seperti tidak ada apa yang berlaku.

Getaran telefon membuatkanku tersentak dari lamunan. Kucapai dan lihat skrin; nama kamu terukir diatasnya. Nama yang dahulunya mampu menelan segala bingit dunia, sehinggakan tidak ada satu apa pun yang mampu melawan keheningan itu. Aku terkesima melihatkan namamu. Sudah hampir tiga tahun kita tidak berhubungan, bersua apatah lagi.

Aku teragak-agak. Sudah begitu lama sekali. Seolah ratusan tahun telah berlalu ketika terakhir kali kita berbicara. Fikiranku ligat berputar -- menarik kembali kenangan-kenangan kita yang tersimpan di belakang ingatanku -- mengingatkan tentang waktu dahulu kepunyaan kita. Waktu yang terlupakan.

Ketika itu, segalanya adalah tentang aku dan kamu; kita. 

______

"Sayang, adakah masih ada ruang untuk aku di hatimu itu?"

"Demimu, sayang. Angkasa juga tidak pernah mampu untuk berdalih denganmu."

Pertanyaan itu terluncur dari bibir mungilnya ketika kami sedang berehat kepenatan di atas sebuah bukit. Malam begitu cerah tidak berawan. Bintang-bintang yang berserakan di dada langit seolah tersusun membentuk sebuah ukiran berbentuk hati yang memayungi segenap kehibaan yang wujud di atas bumi yang tidak berperasaan ini. 

Zaman ini adalah zaman yang tidak ada lagi rasa belas. Kemanusiaan tidak lebih sekadar sebuah hujah yang digunakan untuk menghalalkan pembunuhan ke atas manusia-manusia kasihan di seberang sana.

"Sayang," bibirnya bergerak memanggilku, "apakah kematian itu begitu menakutkan sehingga ramai yang sedaya-upaya mengelakkannya?"

Hal ini lah yang membuatkannya begitu istimewa. Sentiasa penuh dengan pertanyaan-pertanyaan yang membuatku mempersoalkan kembali keberadaanku sebagai seorang manusia. Semalam dia bertanyakan perihal 'Tuhan yang tidak lagi punya belas kasih'. Jika aku boleh menyelami fikirannya, tentu sekali aku akan lemas dalam tekanan-tekanan pertanyaan rumit yang termampat didalamnya; menunggu untuk terhambur keluar.

"Ah, bagaimana mahu aku ungkapkan ya. Begini lah. Setiap orang punya pengalamannya yang tersendiri dengan kematian, baik secara langsung atau tidak. Tapi aku merasakan bahawa, kematian harus dihadapi dengan sesederhana mungkin, sama seperti kita menjalani kehidupan. Kerana dengan menimbangnya secara sederhana baru lah kita dapat menikmati erti kematian yang sebenar-benarnya. Dan daripada itu, ia akan membuatkan kita lebih menghargai kehidupan," aku cuba mempamerkan sisi bijak dalam diriku kepadanya.

"Bagaimana ya, sayang. Jika aku katakan yang kematian 'kita' sudah begitu dekat sekali. Aku dapat rasakannya."

Balasannya membuatkanku putus perkataan untuk menyambungnya.

______

Hari itu merupakan hari terakhir aku menatap wajahnya. Matanya bergenang membasahi pipi, seperti basahnya rumput-rumput yang digenangi hujan ketika itu.

"Tidak ada lagi 'kita' selepas pertemuan ini. Aku dan kamu masing-masing akan membawa haluan sendiri. Aku harap kamu terima keputusanku ini. Ia begitu berat sekali."

Cuma seminggu daripada hari dia mengatakan tentang kematian hubungan kami, dan ia benar-benar berlaku sekarang. Aku tidak petah seperti selalunya; hanya mampu berdiam dan menelan setiap patah yang begitu menyakitkan yang keluar daripada bibir mungil kesukaanku itu.

______

10 saat telah berlalu. Aku mengambil keputusan untuk menjawab panggilan tersebut.

"Helo?" hatiku berdetak kencang menanti balasan suaranya. Sudah terlalu lama.

"Helo, Ah Chai ah? I went to your house just now and your mum said blablabla...."

"Sorry, wrong number," dengan tenang aku memotong percakapan pemanggil di corong sebelah sana.

"Oh, sorry ya, sorry."

Panggilan diputuskan.


Celaka Anita, sampai hati kau tukar nombor telefon tak beritahu aku.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan