Khamis, 27 Ogos 2015

pagi tadi

Pagi ini saya dikejutkan dengan paluan kompang yang datang dari kejiranan perumahan berhadapan flat kelas rendah ini. Ia begitu membingitkan sehingga saya hampir-hampir menempik dari tingkap bilik, 'Wei pukimak diam lah!'. 

Hampir. 

Namun, kesusilaan masih utuh dalam diri saya. Jadi saya menekupkan bantal ke telinga dan cuba untuk menyambung lena saya sebentar tadi.

Selepas hampir dua puluh minit mencuba, saya akhirnya berputus asa. Paluan kompang sudah sepuluh minit berhenti, tetapi ngilunya masih mencucuk telinga. Saya cuba bangun dari katil; dan ketika itu, bermula semacam suatu perdebatan eksistensial yang aneh antara saya dan katil usang itu.

Seperti magnet yang kuat, ia menarik tubuh saya ke dalam dakapannya semula. Saya bermati-matian cuba melepaskan diri. Dakapannya sungguh kuat, dan memandangkan saya belum selesai menguasai keseluruhan tubuh saya selepas bangun, ia jadi beban yang luar biasa renyahnya.

Setiap kali kita bangun dari tidur, ia akan dimulakan dengan sebuah pergelutan: antara tubuh dan kesedaran. Tubuh dan kesedaran merupakan dua hal berasingan, dua individu yang hampir sepanjang masa tidak sependapat tetapi masih mampu untuk bertolak-ansur antara satu dengan yang lainnya. Ketika kita dalam keadaan jaga, tubuh dan kesedaran bekerjasama sebagai satu kumpulan. Kedua-duanya perlu didamaikan terlebih dahulu kerana jika salah satu daripadanya enggan ikut serta, keadaan jaga kita akan jadi suatu pengalaman yang memeritkan. Namun ianya jarang-jarang berlaku, melainkan apabila salah satunya dihinggapi sakit.

Tidur merupakan waktu yang sentiasa ditunggu-tunggu oleh tubuh dan kesedaran. Pada waktu itu, kedua-duanya dapat melepaskan diri dari tanggungjawab yang dilalui dan kembali mendiami ruang masing-masing sehingga kita memasuki keadaan jaga kita semula. Sementara tubuh diam-diam berehat, mitos mengatakan kesedaran akan keluar bersiar-siar--sudah tentu ia tidak terbatas oleh pemahaman ruang dan waktu sebagaimana yang kita fahami--ke daerah-daerah yang diam-diam kita pendam tanpa pengetahuan tubuh. Atau boleh jadi juga, arah tuju kesedaran itu adalah lewat jejak-jejak ingatan yang ditinggalkan oleh tubuh dalam keadaan jaganya.

Dan pagi itu, dalam perdebatan eksistensial antara saya dan katil, tubuh dan kesedaran, di luar pengetahuan masing-masing, berhajatkan hal yang sama. Tubuh masih memberontak kerana saya tidak cukup tidur pada malamnya, manakala kesedaran masih belum selesai menikmati kelazatan daging naga yang diulitnya. Tanpa pengetahuan mereka, kedua-duanya menginginkan waktu yang lebih untuk berdiam di ruang mereka.

Saya menyumpah katil di hadapan saya seraya membayangkan penyesalan yang akan hinggap pada diri saya kemudiannya. Lalu saya kembali tidur dan bangkit ketika matahari sudah tegak di atas kepala sambil memikirkan alasan untuk diberi kepada bos.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan