Khamis, 15 Mac 2012

Maknya Berbaju Merah di Kakilima

Dia berjalan menyelusuri kakilima yang gelap. Dari kejauhan, ternampak kilauan cahaya lampu kalimantang yang terang benderang. Deretan manusia sedang beratur menunggu giliran untuk memesan makanan. Dan di sebelah kedai itu, sebuah masjid yang tersergam indah. Cantik. Berdiri megah di tengah tengah kepadatan kota. Tapi sayang.. Masjid yang cantik itu hanya sekadar hiasan semata mata. Tidak digunakan sepenuhnya oleh umat Islam.

Dia berjalan lagi. Terbongkok bongkok menghampiri kedai tersebut. Aroma yang sungguh mengkhayalkan. Bau bau makanan yang lazat menusuk rongga hidung.

Sekonyong konyong, kelihatan tiga manusia baru melabuhkan punggung di atas kerusi. Masing masing sedang asyik melayan nafsu gelojoh. Suapan demi suapan yang penuh ghairah. Tetapi walau aromanya begitu memikat, bukan itu yang dia cari. Bukan itu yang dia tagihi.

Matanya tertancap kemas ke arah tiga kotak berbentuk segi empat yang tergeletak di atas meja pemuda pemuda tersebut. Ya. Itu yang menarik perhatiannnya. Dadah halal yang cukup mengkhayalkan. Bisa buat dia terbang tinggi melampaui langit tujuh.

Perlahan lahan dan dengan penuh berhati hati, dia menghampiri meja itu. Bau hancing yang sangat kuat menusuk hidung. Mampu buat tiga pemuda tersebut loya. Dia menghampiri pemuda berambut panjang paras leher. Mengunjukkan jarinya ke arah kotak tersebut. Tetapi pemuda tersebut kaku menahan bau, menghalaunya pergi.

Dia sedikit kecewa, tapi masih tidak berputus asa. Ketagihan yang memuncak perlu diredakan. Paru paru ini perlu diisi dengan dadah kimia itu. Mesti!

Mundar mandir, dia berjalan. Mengelilingi kawasan kedai tersebut semata mata untuk dadah itu. Bau hancing yang kuat sangat tidak menyenangkan. Beberapa pelanggan mencebik tatkala dia melepasi mereka.

Semangat dikumpul, lalu dia menggagahkan diri mencuba nasib sekali lagi. Dihampirinya pemuda berambut paras bahu tadi lalu dihulurkan dua keping not berwarna biru sambil menunjuk ke arah kotak yang masih berada di atas meja itu.

Malang. Pemuda tersebut menolak not yang dihulurkan. Tetapi hatinya melonjak kegembiraan apabila rakan pemuda itu, seorang yang agak rendah menghulurkan dadah yang sedari tadi diimpikannya.

Setelah menunjukkan isyarat terima kasih, dia berlalu pergi meninggalkan meja tersebut. Dadah yang baru dinyalakan, dihisap dalam dalam. Nikmat yang tidak terjangkau dek akal.

Semakin lama, kelibatnya semakin tidak kelihatan. Hilang ditelan pekat malam, di Jalan Kapitan Keling. Dia masih gagah menyelusuri lorong lorong gelap itu saban hari. Hanya untuk sesedut dadah kimia tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan