Dia duduk di satu sudut yang terpencil di sebuah warung. Jemarinya leka bermain dengan pemetik api merah. Hujan turun dengan lebat tika itu. Sejuk.. Memang sejuk.
"Ini kopi abang." Datang seorang budak lelaki membawa kopi panas yang dipesannya sebentar tadi.
"Terima kasih, dik." Ujarnya ringkas. Matanya masih tertumpu ke arah pemetik api merah.
Langit makin galak menangis. Titis titis hujan yang banyak kedengaran berat menghempas atap zink warung. Dia duduk sambil berpeluk tubuh dalam kesejukan. Warung tersebut lengang. Hanya dia dan dua orang pelanggan yang lain sahaja yang ada. Masing masing duduk melayan kesejukan hujan.
Jarinya masih lagi ralit meraba pemetik api merah. Kadang dilirikkan pandangan ke arah pelayan bertubuh genit. "Comel." Bisik hati kecilnya.
Sejenak, dia berhenti bermain pemetik api merah itu. Tangkai gelas menjadi matlamat seterusnya. Dihirupnya sedikit kopi yang panas itu. Satu nikmat yang tidak dapat digambarkan. Minum kopi panas ketika diselebungi kesejukan hujan mampu merembeskan lendir lendir bahagia dari dalam diri. Surga..
Tapi, jika sekadar minum kopi yang adiktif itu semacam tidak lengkap. Perlukan satu perencah untuk melengkapkan nikmat surga dunia itu.
Kotak Winston Light diambil. Sebatang rokok dikeluarkan perlahan lahan, penuh kasih sayang. Pemetik api merah bakal menjalankan tugasnya yang sebenar. Ternanti nanti sedari tadi.
Rokok diletakkan di pinggir bibir, lalu dicucuh. Hembusan pertama yang tebal dilepaskan berserta satu keluhan perlahan.
"Haihhh. Bila lah aku nak berhenti merokok."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan