Dua hari ini (14 dan 15 Mei) merupakan hari yang panjang, sangat panjang saya kira. Bukan tentang tempoh masa yang saya katakan di sini, tetapi hal-hal yang sangat tiba-tiba sifatnya. Tentu sekali, ia bukan lah sesuatu yang janggal kerana hidup memang penuh dengan ketiba-tibaan.
"Cuma 20 tahun, dan aku sudah sesedih ini. Entah apa lah yang nenek rasa, kan? Hampir seumur hidupnya adalah untuk datuk," adikku menyoal ringkas. Perjalanan saya ke Kuantan semalam sememangnya tidak langsung terlintas dalam perancangan -- sepupuku menolak untuk ikut sama pulang bersama adik.
"Pasti kosong," saya membalas pendek.
Rutin bagiku, adalah hal yang melelahkan. Menurut aturan-aturan rutin membuatkan kita langsung menjadi banal -- terhisap dalam tuntutan-tuntutan keseharian yang tidak pernah surut. Oleh kerana itu, saya seboleh-bolehnya akan mengelak daripada terjerumus dalam sebarang bentuk hubungan yang mengikat -- yang menuntut waktu kepunyaan saya. Jadi, tidak hairan juga jika saya masih lagi bergelut dengan jam-jam kredit yang masih lagi tidak mencukupi pada waktu-waktu genting sebegini.
Namun, saya kira, lain halnya dengan mereka yang sedang bercinta. Waktu -- tentu sekali, bukan waktu palsu yang biasa kita hadapi sehari-hari -- mereka adalah juga waktu temannya. Waktu yang asli, adalah Ada itu sendiri, dan Ada bermaksud diri sendiri. Lantas mereka yang berkongsi waktu untuk temannya, bermaksud juga berkongsi dirinya dengan teman tersebut. Kesedarannya adalah kesedaran temannya, begitu juga sebaliknya. Kehilangan teman, boleh saja mengunjuk kepada hilangnya kesedaran seseorang. Barangkali, itu sebabnya wujud mereka yang hilang akal kerana cinta, kerana kesedarannya sudah mati.
Kematian adalah hal yang mengharukan, tetapi ia tidak langsung terkandung kesedihan. Ah, kematian sememangnya tidak patut untuk disedihkan! Bagiku, yang menyedihkan adalah "suasana" kematian, bukan lah kematian itu sendiri. Manusia, seperti yang ditulis Heidegger, tidak sahaja hidup-dalam-dunia, tetapi ia memukimi dunia. Manusia menemukan kewujudannya dengan mendunia, terjun ke dalam keseharian yang menyesakkan. Pertemuan dengan manusia-manusia lain tidak saja berlaku dengan begitu sahaja tetapi melibatkan persentuhan-persentuhan yang mengesankan antara satu dengan yang lainnya. Lantas, apabila seseorang itu meninggalkan dunia ini, jejak-jejaknya tertinggal dan memberkas dalam diri mereka yang bersentuhan secara intim dengannya.
Jejak-jejak ini dapat ditemukan dalam setiap tempat yang pernah dimukiminya. Jejak ini tidak sahaja ada dengan begitu sahaja, tetapi dikerjakan dengan mereka yang lain secara bersama. Justeru, hal yang tertinggal lewat pengerjaan ini adalah ingatan -- yang sentiasa melekat dan tertinggal dalam setiap jejak yang terhasil. Hal ini menjelaskan tentang "suasana" yang mengewap dalam rumah tersebut. Ingatan-ingatan yang terhasil tidak terpadam bersama perginya tubuh tersebut, tetapi tertinggal di setiap penjuru rumah. Kesedihan hadir lewat ingatan yang dikerjakan bersama dengan ia-yang-sudah-pergi. Begitu juga halnya dengan kegembiraan, dan setiap apa yang dapat kita rasakan. Ia terhasil secara bersama, dan mampu untuk terus langsung walau tanpa pasangannya.
Sepanjang ingatanku, datuk adalah seorang guru yang sentiasa menyampaikan pesan kepada anak cucunya. Setiap kali rumah tersebut terpenuh, dia akan memanggil kami semua dan berpesan tentang tanggungjawab yang harus dilaksanakan sebagai seorang manusia. Pesan yang kami pegang supaya tidak lemas dalam keseharian yang dilewati saban hari.
Selamat hari guru, datuk. Semoga mengecap bebas di sana.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan