Tidak sering sebuah fikiran menawarkan penyelesaian; tetapi picis-picis yang terhambur darinya, seperti kerja melarik, memerlukan kesabaran dan ketelitian untuk melawan kejemuan. Dan apakah hal yang menjemukan dalam berfikir? Ia tak pernah selesai.
Adapun pada suatu detik, ia cuba untuk menguis fikirannya ke tepi, upaya itu tidaklah dapat dijelmakan tanpa ia berfikir tentang bagaimana untuk menguis fikiran itu. Dan apakah buah fikiran yang sedang direncanakan ini, tidak lebih sekadar pengulangan fikiran-fikiran yang lalu? Sudah tentu serupa. Cuma yang sedang diucapkan ini barangkali sedikit berbeza dari pengucapan yang terdahulu.
Kisah ini bukanlah kisah yang terpisah dari akar kesejarahan seseorang. Biarpun ia sekadar mengatakan hal yang picis-picis, selagimana ianya berdiri dan mendirikan sebuah keseluruhan, ia tidak terelak untuk dibicarakan. Dan bagaimana, dengan penaakulan tajam masing-masing untuk mencerap fenomena, kita yakin bahawa hal yang bersapa di hadapan kita merupakan suatu yang nyata? Apabila ia mampu untuk langsung dalam sesebuah weltanschauung, dan dalam masa yang sama kekal utuh tanpanya.
Katakan, sebuah kisah tentang seorang mawar. Ia di hadapan temannya, berupa seorang pembicara; bagi musuhnya, ia seorang jalang; orang asing melihatnya sebagai kurang ajar; dan di hadapan cinta, ia seorang gila. Lantas, apa yang dapat kita tarik daripada empat keadaan ini dari sekian banyak keadaan lain yang berhadapan dengan gadis itu? Kenyataan seorang mawar adalah tersituasi mengikut konteks yang ia tempati pada satu-satu ketika. Seorang pembicara, jalang, kurang ajar, dan gila. Kesemuanya menandakan kenyataan seorang mawar, tetapi kenyataan-kenyataan itu tidaklah boleh disandarkan kepada erti keseluruhan seorang Mawar, atau Kenyataan, masing-masing dengan "M" atau "K" besar.
Namun, harus diawasi perspektif yang kita ambil dalam mendekati Kenyataan tersebut. Janganlah kita terjatuh ke dalam pemistifikasian ala Derridean; yang mengelubungkan kebenaran dengan jubah penangguhan. Atau kita juga barangkali boleh mengambil jarak dengan Lacan, yang mencari sebahagian dari kehadiran diri kita di dalam yang lain. Kedua-duanya meninggalkan kita dengan tugas hampa dalam mencari Kenyataan; mereka malah menolak Kenyataan jauh-jauh ke dalam lubang idealisme yang hanya mampu dicapai lewat angan-angan.
Sekalipun Kenyataan itu tidak dapat dikomunikasikan menerusi bahasa, ia tetap saja hadir sebagai suatu hal yang konkrit; tidak terpisah dari pengerjaan berterusan kita menuju keabadian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan