Isnin, 13 Julai 2015

pembohong yang bercakap benar

Kebebasan bikin kita gila, maka begitu ramai sekali yang memilih untuk menentangnya. Tidak ada pekerjaan yang lebih sia-sia dan menghinakan, selain memberi julukan kepada pembohong-pembohong di luar sana sebagai penunjuk jalan ke arah kesaksamaan, sementara mereka, dengan sukacitanya, menggonggong slogan-slogan kosong, sengaja atau tidak, menggalas beban pembebasan; dan lebih dari itu, pembohongan tersebut, yang seringkali termuat kata-kata nista terhadap diktator, dibeberkan dengan sambil lewa ke dalam masyarakat yang begitu rentan dengan pembodohan, baik menerusi praktik kuno mahupun moden.

Hadirnya saya di ruang ini, dalam struktur binaan yang goyah, salah satu keajaiban bahasa, tidaklah untuk mempertunjukkan kebobrokan yang sudah diketahui ini; bahkan, teks ini, yang tidak mungkin terlepas dari beban dosa lampau, berpijak di atas rentetan-rentetan kebenakan, terutamanya sisa-sisa najis yang tentu saja sudah anda hidu sehari-hari. Saya tidak berhasrat untuk melakukan pekerjaan yang sia-sia tersebut, bukan sekarang, ketika anda semua tidak lagi berminat untuk mendengarkan satu lagi pembohongan. Sebaliknya, saya berasakan ianya sebagai suatu tanggungjawab, tidak secara undang-undang tentunya, untuk mengisahkan kepada anda, secara ringkas dan sepintas lalu, tentang perbualan yang saya kira, melelahkan, antara saya dengan seorang pembenci kebebasan, serta dalam masa yang sama, merupakan aktivis yang lantang menuntutnya.

Saya tidak bertugas pada malam itu, seperti malam-malam cuti saya yang lain, lazimnya saya akan duduk di atas kerusi malas saya, di balkoni apartmen yang menghadap jalan lengang sebuah pekan di pinggir kota, sambil menimbang sama ada untuk membaca buku, atau melalaikan diri saya dengan gajet. Namun, malam Rabu itu, hari yang kedua puluh tujuh bagi bulan tersebut, saya menerima satu panggilan yang mencemaskan dari wanita tersebut; dan maafkan saya kerana tidak dapat mendedahkan identitinya, memandangkan dia merupakan seorang senator yang berhasrat untuk bersara dengan imej yang suci, walaupun sentiasa berbohong di siang hari. Cukup sekadar anda tahu, bahawa Cik C (memandangkan dia sudah bercerai) merupakan majikan saya, juga saya cuma bertugas pada malam hari, empat kali seminggu; pada hari Jumaat, Sabtu, Selasa, dan Khamis; dan malam itu, saya dipersilakan duduk di birai katilnya.

Cik C menyambut saya dengan senyuman, walaupun matanya, yang tidak pernah berbohong pada saya, memperlihatkan bahawa dia sedang bergelut dengan suatu kerisauan; cukup menggusarkan sehingga bibirnya ikut sama bergetar, senada dengan kelipan matanya.

"Maafkan saya kerana mengganggu malam cuti anda, saya tidak dapat menahan diri dari berbuat demikian," dia kelihatan begitu membencikan pada ketika itu. "Tak mengapa. Saya sememangnya sedia maklum dengan pekerjaan anda, yang tidak putus-putus meminta tanpa ingin memberikan pampasan walau sepuluh sen sekalipun," anehnya, dia tidak mencebik sepertimana lazimnya, dan hal ini mencuri perhatian penuh saya.

"Maaf kerana tidak berkelakuan sepatutnya, semustahak yang bagaimana panggilan anda?" saya pantas meregangkan keadaan, bimbang ianya akan mematikan hasrat Cik C untuk berbual. "Amat mustahak, sehingga saya tidak memerlukan anda untuk berbuat apa pun selain menemani saya berbual sehingga pagi," dia kelihatan sedikit serba salah.

"Usah khuatir, anda tidak perlu membayar saya untuk ini. Jika wujud hal yang lebih mustahak daripada seks, maka ianya tidak patut untuk diambil kesempatan. Malam ini, perhatian saya adalah untuk anda, dan cuma anda sahaja yang berhak memiliki saya, kecuali jika kematian memilih untuk datang pada lewat malam nanti. Dosa apa yang sedang berbisik di telinga anda ketika ini?"

Cik C bermain dengan jarinya, runcing dan berkedut, padan dengan usianya, sebelum memandang saya dengan matanya yang jujur, dan mula berbicara dengan mulutnya yang busuk dengan pembohongan. "Pagi ini, seperti pagi-pagi lain selepas didatangi anda pada malamnya, saya akan membancuh secawan kopi hitam, yang kekelatannya terlalu kuat sehingga menyedarkan saya, bahawa kemanisan yang dikecap semalamnya hanya sebentar, dan tanpa terelakkan, kita semua, pada akhirnya, akan dilupakan, terkambus dalam timbunan memori dunia; tetapi hal yang berlaku pada pagi ini amat memeranjatkan, saya terlupa di mana saya letakkan serbuk kopi kegemaran saya, yang saya begitu pasti, disimpan di kabinet ketiga sebelah kanan, bersama-sama dengan produk-produk pelangsingan yang sudah lama tidak digunakan; dan lebih dari itu, saya menjumpai sekotak uncang teh murah, yang menjadi pilihan orang kebanyakan dek kerana aroma busuk yang paling wangi buat mereka, dan rasanya yang menjijikkan bagi orang-orang macam saya, yang mana mereka tanggapnya sebagai suatu sensasi kesedapan yang paling menyenangkan.

Kemudian, saya memanggil pembantu rumah saya, Anita, untuk bertanyakan perihal kehilangan kopi tersebut, serta tentang kewujudan kotak asing yang tidak kena pada tempatnya, tetapi panggilan saya tidak bersahut, selama hampir lima belas minit lamanya; Anita terkocoh-kocoh muncul, dengan sebatang mop di tangan kanannya, dan sebuah pinggan di tangan yang lain; ianya merupakan sebuah pemandangan yang amat menyakitkan mata, ketidaksepadanan yang diusung olehnya, ia semakin mencelarukan pagi saya.

'Ada apa yang merunsingkan, puan?' Dia kelihatan begitu selamba sekali, tidak menyedari kekacauan yang sedang berlaku di situ, dan dirinya, ya, dirinya sendiri juga begitu merimaskan!" Cik C mengambil jeda, tangannya menggeletar dahsyat, yang saya pasti, bukanlah berpunca dari ketakutan, atau kemarahan yang amat sangat, tetapi akibat kebingungan yang masih tidak lepas pergi darinya. Setelah selesai menenangkan dirinya, dia menyambung pengalaman paginya.

"Saya bertanyakan kepada Anita, terlebih dahulu, tentang ketidaksepadanan yang diusungnya, yang sungguh menjengkelkan saya; dan jawapannya buat saya semakin jengkel. 'Tidakkah puan tahu? Pinggan akan menjadi lebih bersih jika disental dengan alat yang lebih gasar, dan saya sentiasa membasuhnya, satu per satu, menggunakan pili air di laman, kerana kederasannya yang tepat, serta aroma rerumput yang menyegarkan akan menutup kebusukan sisa masakan.' Jawapannya begitu tidak masuk akal, sehingga saya hampir-hampir saja melemparnya dengan gelas di hadapan saya. Dia kemudian menegaskan perbuatannya. 'Apakah puan merasakan tindakan saya ini sesuatu yang melucukan? Saya kira, puan, dari sekian ramai orang yang saya kenali, pasti lebih mengetahui, lebih dari itu, menghargai, perbuatan saya yang tidak bermatlamatkan apa-apa, melainkan untuk memuaskan hati puan dengan paparan kerja saya; tidak kira walau selucu manapun ia dikerjakan, atau sama ada tindakan ini mampu difahami atau tidak; bukankah itu yang puan  lakukan sehari-hari, sejak dua puluh enam tahun yang lalu?' Jawapan yang seterusnya mencampakkan saya ke dalam kemurungan, sehinggalah malam ini, ketika saya menelefon anda, merayu kehadiran anda, buat masa ini, dan seperti keadaannya sekarang."

Saya dapat rasakan bahawa Cik C sedang menggigil pada ketika itu, ianya bukan disebabkan oleh bayu sejuk yang menerjah masuk dengan keras melalui tingkap balkoni yang terbuka; dia, pada saat itu, sedang dalam ekstasi, kejutan yang diakibatkan oleh kepercayaan yang sedikit demi sedikit runtuh di hadapan sebuah kenyataan, yang tidak mungkin terelakkan; dan lebih dari itu, ianya dihancurkan lewat teguran seorang amah, seorang yang sentiasa dilecehkannya, membuatkan kenyataan tersebut, tidak sahaja menampar imannya, bahkan melondehkan egonya sehingga telanjang. Justeru, seorang wanita yang narsis seperti beliau, seperti juga anda dan saya, yang sehari-hari menjamah pujian-pujian lewat paparan-paparan maya, akan berasa terhina, apabila yang menunjukkan kenyataan itu merupakan seorang yang ditakrifkan sebagai tidak fasih tentang apa yang diperkatakannya.

"Adakah anda sempat bertanyakan Anita tentang misteri kehilangan kopi, dan kewujudan kotak uncang teh yang jijik tersebut? Kita sedia maklum, yang, apabila anda berada dalam keadaan celaru, anda seringkali terlepas hal pokok yang perlu didahulukan; saya masih ingat ucapan anda beberapa bulan yang lepas, ketika para pekerja berdemonstrasi di hadapan parlimen menuntut peningkatan gaji, anda, pada ketika itu, sedang terganggu dengan ketiadaan saya yang mengambil cuti selama seminggu; dan berbanding mengulas isu tersebut, anda sebaliknya bercakap tentang keperluan untuk melindungi babi ternak berbanding babi hutan, serta diikuti dengan huraian geanologi panjang dalam membezakan kedua-duanya." Pertanyaan saya membuatkan dia sedikit berang, dan saya tidak meminta maaf kali ini, kerana saya tahu, dia sudah melepasi sempadan kepura-puraan yang dibinanya, dan dikehendaki untuk berlaku jujur sehingga perbualan ini selesai.

"Anda sudah salah faham sama sekali, bukankah kebenakan kita, yang amat tebal sekarang, adalah hasil daripada gelisah-gelisah terhadap identiti yang tidak bertujuan? Sebelum itu, izinkan saya sambung kembali kisah saya bersama Anita pada pagi ini; setelah putus asa dengan sikap jengkelnya, saya kemudiannya bertanya tentang misteri kehilangan kopi dan kewujudan teh tersebut; ah, apakah saya sedang mengulang percakapan anda? Sungguh melelahkan zaman ini, segalanya dengan mudah, dan tanpa sedar, ditiru bulat-bulat, serta diulang kembali tanpa sedikitpun rasa hormat; dan mereka pula terus-terusan menuntut agar keunikan mereka diakui, sedangkan, kesemuanya termuat dalam kotak yang sama, seragam, dan membosankan.

Jadi, jawapan Anita yang selanjutnya tidak sahaja membuatkan saya terdiam, tetapi turut mempersoalkan kembali kerja-kerja yang telah saya lakukan selama ini, juga kewarasan saya ketika saya mengupahnya dua belas tahun dahulu.

'Kopi itu dicuri, puan;  saya terdengar bunyi tingkap diumpil sekitar lima pagi tadi, dan saya hampir pasti yang pencuri itu tidak mengenakan suatu apa pun pada tubuhnya, kerana pergerakannya begitu licik, senyap, dan mendebarkan; pencuri itu juga telah menggantikan kopi tersebut dengan kotak teh, saya amat pasti ia yang melakukannya, sebab bau teh itu begitu busuk, bau yang hanya pernah keluar dari mulut puan sahaja.'

'Dan siapa yang sanggup melakukan perbuatan terkutuk ini, mencuri kopi mahal, di rumah seorang wanita yang tinggal bersendirian!' saya tidak dapat mengawal rasa takjub saya, pencuri tersebut sungguh teliti, untuk mengenalpasti barangan paling berharga dalam rumah ini, dan menggantikannya dengan sesuatu yang amat menggelikan.

'Ia dilakukan oleh orang yang tidak takutkan Tuhan--puan.'

Siapa sangka, jawapannya mampu untuk memuaskan hati saya, dan saya kira, anda sendiri menyedari, yang saya ini bukanlah seorang yang terlalu percayakan agama, ia terlalu lucu buat saya; sedangkan terdapat banyak hal lagi yang harus difikirkan, siapa sahaja, pada masa sekarang, yang mempunyai masa untuk beragama? Ya, orang-orang tua kelas menengah sememangnya tidak punya apa-apa untuk dirisaukan lagi, selain bagaimana untuk memperleceh mereka-mereka yang jarang berkunjung ke rumah ibadat, atau orang-orang yang sibuk bekerja, dan tidak ada masa untuk memikirkan kehidupan selepas mati; sangat lucu bukan? Celaka-celaka itu juga pernah begitu dahulu, siang malam berdoa agar wangnya beranak-pinak, melebihi kecukupannya untuk hidup, supaya dia dapat bermewah-mewah di kemudian hari, seperti sekarang. Dan orang-orang seperti Anita? Mereka menggunakan Tuhan sebagai sebab kepada segala sesuatu, kerana mereka adalah orang-orang yang malas; Tuhan adalah jawapan untuk segalanya, ia direndahkan sehingga ke tahap intelek mereka yang tidak tahu mengeja, Tuhan mereka ialah Tuhan yang tidak berimaginasi, kontang, dan hadir dalam bentuk-bentuk yang mengkhayalkan, supaya mereka dapat lari sebentar dari derita kenyataan. Tidakkah anda bersetuju dengan saya? Tuhan adalah lelucon, jenaka yang tidak pernah hilang kelucuannya, diceritakan zaman-berzaman, mengambil bentuk yang berbeza-beza mengikut sejarah masyarakatnya, dan demi sains, ia langsung tidak masuk akal."

Sungguh menakjubkan, pada fikiran saya, bagaimana kejadian malang pada suatu pagi mampu untuk membuatkan seorang wanita yang begitu tegar, melucutkan dirinya di hadapan saya, begitu terdedah, tanpa ada selapis ego pun yang membaluti tubuhnya sekarang, melainkan keberangan terhadap hal yang tidak dapat difahaminya, seperti juga misteri kehilangan kopi, dan kewujudan kotak teh tersebut; Cik C meringkus Tuhan dan menghumbankannya ke dalam makmal bawah tanah Soviet, membiarkan para saintis membiarkannya kebuluran, mengujinya dengan eksperimen-eksperimen saintifik, dipatenkan, lalu dipamerkan sebagai sebuah prototaip yang mengabsahkan pembohongan. Saya tidak berhasrat untuk menyambung tentang kepercayaannya, walaupun menarik, dan dalam beberapa sisi, barangkali bersangkutan dengan kisahnya, tetapi yang lebih mustahak, adalah untuk menarik kembali perbualan tersebut kepada pandangan awalnya, yang saya kira, sebuah paradoks yang bercanggah dengan percakapan selepasnya.

"Sebentar tadi, sebelum anda memulakan cerita yang mengagumkan berkenaan kepercayaan anda, anda ada menyebut tentang kegelisahan identiti yang tidak bertujuan. Tidakkah keghairahan dalam beridentiti merupakan salah satu tujuan utama tugas-tugas pembebasan yang diperjuangkan oleh anda?"

"Sudah tentu anda faham dengan kerja-kerja yang saya lakukan; bukankah saya sememangnya terkenal sebagai pembohong, di mata anda dan Anita, yang tidak mempunyai matlamat lain, selain menyetarakan setiap pemikiran, berdasarkan satu kayu ukur yang munasabah, dan tentu sekali ianya ditetapkan oleh saya sendiri; keseragaman adalah kunci kepada kebebasan, sudah tentu anda sedar akan hal ini. Tugas saya, kepada mereka-mereka di luar sana, hanya sekadar menguruskan bentuk kebebasan yang diidamkan; jangan katakan yang anda juga, seperti mereka, percaya dengan idea kebebasan, sungguh menyedihkan jika anda beranggapan sedemikian; kerana tidak ada satu apa pun yang mampu untuk bebas, lebih-lebih lagi dalam zaman yang segalanya sudah terjalin, anda tidak ada ruang untuk melepaskan diri darinya. Tidakkah ianya menjadi sebuah gagasan yang mengagumkan? Kita menjanjikan kebebasan kepada mereka, dalam bentuk pilihan-pilihan yang sekian banyak, dan kesemua pilihan tersebut sudah ditetapkan oleh orang-orang yang tertentu; tambahan lagi, orang-orang yang menetapkan pilihan itu juga, tidak terlepas daripada menanggung beban untuk mencipta pilihan-pilihan yang menyelerakan mereka yang menggunakannya; sebuah adikarya, yang mana, tidak ada sesiapa yang benar-benar bebas, baik penindas mahupun yang tertindas, kerana kesemuanya, saya, anda, dan mereka, telah terhumban ke dalam neraka lingkaran, dan tidak ada seorang pun yang mampu untuk lolos darinya.

Lantas, setiap dari kita akan mula mengasingkan diri, mencari identiti masing-masing, membentuk kumpulan-kumpulan kecil, dan berperang dengan satu sama lain; kesemuanya adalah demi menuntut keunikan, atau pilihan, buat diri sendiri, yang saya dan anda sedari sekarang, tidak lebih sekadar lingkaran, yang pada akhirnya, tidak bertujuan. Katakan pada saya sekarang, di mana Tuhan yang mereka semua angkat?"

Mata Cik C mula bergenang. "Di mana Anita?" saya menjawab pertanyaannya dengan sebuah pertanyaan lain.

Dan Cik C, dengan matanya yang masih basah, menunjuk ke sudut bilik, tempat di mana sekujur tubuh gempal, terduduk kaku, berdansa dengan Tuhannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan