Sabtu, 1 Mac 2014

tanda

Sejarah; bermula era ini sudah dinafikan. Di dunia seberang sana, mereka menolaknya. Baudrillard tidak sahaja mengajak kita untuk menonton sebuah tayangan komedi tentang kebenaran, malah beliau sama sekali merengkuhnya. Tidak ada kebenaran sejati melainkan sekadar cerita-cerita dongeng yang direka untuk kita berpaut kepadanya. Fiksyen.
 
Manusia sejak awal dahulu mendapatkan makna dirinya daripada persekitaran. Simbol, yang dituturkan oleh Baudrillard sebagai tanda. Tanda tersebut melekat pada diri manusia bersama-sama dengan maknanya. Tidak ada yang sia-sia. Tanda hadir, kerana keperluan untuk mengungkapkan makna tersebut.

Namun, itu cerita dahulu. Lewat industri, tanda menjadi tidak terkendali. Setiap hari kita dilimpahkan dengan pelbagai macam tanda yang, barangkali tidak punya makna walau satu apa pun. Bahkan, kita diajak untuk beriman dengannya!

Nyata, zaman kini manusia tidak lagi menggunakan tanda untuk mengungkapkan makna. Sebaliknya, tanda hadir terlebih dahulu sebelum disusulkan dengan makna. Kita mendapatkan makna daripada tanda-tanda, yang terkandung set-set nilai tertentu berbentuk objektif.

Misalnya, kita diajar satu set nilai yang perlu ada dalam kecantikan. Tentu sekali, ia terkandung kemungkinan-kemungkinan subjektif yang tidak terkira, tetapi lewat tanda yang kita hadap sehari-hari, kita mungkin sahaja mempunyai tanggapan-tanggapan yang hampir serupa tentang hal tersebut. Lain daripada itu, cukup sahaja dengan contoh hidangan Happy Meal di McDonald. Hidangan tersebut menggambarkan kebahagiaan. Justeru, kita mempunyai sebuah tanggapan bahawa dengan mengambil hidangan tersebut akan membuatkan kita bahagia.

Makna tidak lagi melekat dengan diri kita, bahkan kita terpaksa mengambil apa sahaja tanda yang ada, untuk dimaknakan, sesuai dengan keperluan kita.

Ia merupakan kebejatan zaman ini. Konsumsi, yang lahir daripada rahim kapitalisme membeberkan kesia-siaan yang pada akhirnya direnggut dengan rakus oleh kita semua.

Mengulang kembali Baudrillard; fiksyen-fiksyen. Tidak ada lagi Kebenaran melainkan lambakan kebenaran-kebenaran yang kita ambil untuk diberikan maknanya.

Sebuah komedi bukan? Kita berebut-rebut menaruh iman kepada dongeng-dongeng kosong yang ditulis dengan sambil lewa atas nama keuntungan.
 
Persoalannya, setakat mana fiksyen yang kita anggap sebagai "kebenaran" itu mampu memapah kita?

Mengambil saranan daripada kehampaan-kehampaan mereka yang terbit daripada kapitalisme; seharusnya, kita menutup deria kita daripada kebisingan-kebisingan tanda yang berserakan, lalu, dengan sabar menuntut kembali kewujudan diri kita.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan