Selasa, 29 April 2014

IV

Manusia tidak sendirian cemas melainkan terkait dengan kesedaran tentang yang-lain. Kecemasan mendekat-secara-bersama. Detik seorang aku meragukan kewujudannya adalah detik aku tersebut membuka dirinya kepada yang-lain.

Lantas, Ada seorang aku merupakan Ada yang-lainnya.

Jumaat, 25 April 2014

III

Membuat keputusan adalah detik sendiri yang mencemaskan.

Rabu, 23 April 2014

dasein

Setiap hari pun Aku lebur - "hilang bentuk" dan "remuk" seperti kata Chairil - menjadi derai-derai yang berserakan di dalam dunia. Hal ini berlaku pada malamnya. Ketika fajar menyingsing di pagi hari, derai-derai itu kembali bercantum - membentuk Aku yang bukan-Aku-semalam. Dan begitu lah saban hari. Aku hancur dan tercantum semula untuk turut serta bersama aku-aku yang lain dalam praktis keduniaan yang banal ini. Dalam mendunia, manusia tidak langsung pernah terjadi melainkan hanya terus-terusan menjadi sampai ia mati.

Ahad, 13 April 2014

II

Hidup biar dengan sepenuhnya, mati biar sampai sehabisnya.

Jumaat, 11 April 2014

French Kiss

Sudah tiga tahun, dan ini kali pertama saya menulis sejak itu. Begitu susah sekali hendak memulakan sebuah tulisan. Apalagi hendak menghabiskannya, bukan? Lewat petang semalam, saya duduk berbual dengan seorang rakan. Rutin harian yang menggembirakan bagi orang seperti saya yang dihimpit dengan segala macam tuntutan agar menjadi seperti-apa-yang-mereka-jadi. 

"Hiburan kita, masyarakat tertindas ini cuma tinggal melepak dan bola sepak," rakan saya berseloroh tajam. Sememangnya begitu. Tidak ada apa lagi yang menarik selain duduk membuang masa -- melarikan diri sebentar dari kerja -- bersama rakan-rakan sambil ditemani kopi panas dan kegelisahan-kegelisahan tentang kewujudan. Barangkali, kata "eksistensial" terlalu mengawang dan sering dijaja sehingga hilang ertinya. Tidak ada yang janggal pun tentang itu. Kita semua melaluinya saban hari. Patah-patah perkataan yang sengaja dilontarkan dengan sinonim-sinonimnya yang langsung tidak pernah kita dengar! Ah, begitu menjengkelkan.

Pun begitu, setelah tiga tahun mendiamkan diri, saya menemukan kekuatan untuk menulis sedikit cerita pendek tentang pengalaman saya selama ini. Usah bimbang. Ia akan habis dalam empat perenggan lagi kerana saya akan kehilangan perkataan sedikit masa lagi. Oh, tidak. Saya bukan seorang yang pelupa. Cumanya, semakin lama saya menulis, semakin larut saya dalam tulisan. Dan ini bukan suatu hal yang bagus memandangkan ia membuatkan saya cepat mengantuk!

Berani. Itu sahaja yang mampu saya katakan kepada mereka yang menulis tanpa menggunakan nama pena. Mengapa saya katakan begitu? Tuan-puan, menulis adalah kerja yang sangat bahaya! Tapi ia tidak sama seperti menulis di laman-laman sosial -- Facebook atau Twitter. Tulisan-tulisan sebegitu barangkali adalah usaha untuk menutup ketidakupayaan diri sendiri. Menulis -- dalam erti kata yang sebenarnya -- bermaksud membuka diri kita yang sebenarnya. Bertelanjang di hadapan dunia dan merelakan setiap inci diri kita untuk ditekuni. Menulis adalah aksi di mana kita menumpahkan kesaksian paling luhur terhadap diri ke dalam bentuk tulisan untuk dikongsi dengan mereka di luar sana. 

Menjadi penulis tidak ada bezanya dengan menjadi seorang pelakon filem porno. Penulis menelanjangkan jiwanya; membangkitkan syahwat pembaca untuk terus menekuninya. Pembaca mencapai ejakulasi dengan fikirannya bersama fikiran penulis tersebut. Saya fikir, tugas seorang penulis sama mulianya dengan tugas seorang pelakon filem porno. Mereka dari satu segi, mampu membebaskan penonton yang menatapnya.

Namun, di satu sisi yang lain, penulis juga berkongsi kehinaan yang sama dengan pelakon filem porno. Hampir kesemua daripada mereka ialah penipu! Seperti Dorian Gray yang menyembunyikan kejahatannya dalam sebuah potret, begitu juga dengan kedua-duanya. Apa yang diperlihatkan adalah penipuan yang dikelubung dengan keintiman-keintiman palsu yang meloyakan. Mereka menjadi dewa-dewi dengan mengambil kesempatan atas kedahagaan-kedahagaan penonton terhadap kasih sayang.

Setakat hari ini, saya masih lagi tidak menemukan jawapan untuk soalan pertama yang sentiasa saya tanyakan ketika bangun di pagi hari. "Apa yang aku buat di sini?"

Selasa, 8 April 2014

I

Udara adalah kehampaan yang dihirup saban hari agar kita dapat terus dikecewakan oleh kehidupan.

Isnin, 7 April 2014

aku punya sebuah mimpi

Aku punya sebuah mimpi
tentang keindahan seorang puteri
yang menghunus sebilah taming sari
Darah mengucur sakitnya tak terperi

Masakan tidak ada yang memberitahuku;
Hati-hati dengan kecantikan, sungguh... 
ia membunuh!

Masa lalu yang terdera adalah neraka
yang kita pikul tanpa waspada
Menidakkan kesemuanya dalam kita jaga
sehinggakan segalanya tertinggal sia-sia

Ia umpama bayang
Mengikut rapat sambil menyindir dari belakang
Atau melekat di sisi dengan suara-suara sumbang
Atau juga melewat di depan seraya membutakan pandang

Sampai satu waktu kita sendirian termangu

Rindu ini terus ada
Siapa punya?

the whisper

If you share the same thoughts and feelings with me, do tell, because I wouldn't want to miss what might probably be the greatest thing ever happens in my life.

Jumaat, 4 April 2014

nanti dulu

Kehujanan kita di tengah pagi
yang mataharinya memancar sayu
Gusar menanti dengan keletak gigi
meminta agar awan cepat berlalu

Hujan tidak meminta dirinya
melainkan angin menghalau pergi

Seperti perlakuan bayang-bayang;
siluet-siluet yang bersiul menakutkan

Sementara kita adalah derai-derai yang malang

Sentiasa memohon Tuhan memberi jeda
agar menunda sesuatu yang pasti
sedang kita makin dilupakan

Barangkali saat kita mula membilang
menjadi saat segalanya hilang.

kita mahu bebas

Puisi adalah doa yang terkurung. Dan hilang sejurus ia dinyanyikan.

Selasa, 1 April 2014

D. U. B. L. I. N.

Kepercayaan adalah sebuah keterbatasan yang membuatkan kita meringkuk dalam penjara makna. Ironinya, keterbatasan yang memenjarakan itu juga menjadi tanda bahawa kita ialah manusia.

Pemahaman terhadap hidup, menurut Kierkegaard, diperoleh dengan menoleh ke belakang; meneliti cerita-cerita yang terhampar sepanjang sejarah berjalan. Namun, ia tidak seharusnya terhenti setakat itu. Heidegger mengajak kita untuk menekuni hal-hal kecil yang berlaku di sekeliling kita. Memahami bermaksud mengerjakan. Pemahaman diperoleh lewat tugas-tugas yang dikerjakan dengan sungguh-sungguh. Kesatuan yang wujud antara tubuh dan jiwa.

Makna tidak boleh dicampak dengan paksa ke dalam masyarakat untuk diambil mentah-mentah. Ia harus ditunda, lantas dilekat-lekatkan dengan pertemuan-pertemuan lain yang berlangsung. Barangkali, seperti yang disarankan di dalam novel ini; dengan berjalan. Ia berupaya untuk "menangguhkan kebenaran".

Dan barangkali, kebenaran, seperti sindiran tajam Baudrillard, tidak lebih sekadar fiksyen-fiksyen yang harus ditertawakan.