Sudah tiga tahun, dan ini kali pertama saya menulis sejak itu. Begitu susah sekali hendak memulakan sebuah tulisan. Apalagi hendak menghabiskannya, bukan? Lewat petang semalam, saya duduk berbual dengan seorang rakan. Rutin harian yang menggembirakan bagi orang seperti saya yang dihimpit dengan segala macam tuntutan agar menjadi seperti-apa-yang-mereka-jadi.
"Hiburan kita, masyarakat tertindas ini cuma tinggal melepak dan bola sepak," rakan saya berseloroh tajam. Sememangnya begitu. Tidak ada apa lagi yang menarik selain duduk membuang masa -- melarikan diri sebentar dari kerja -- bersama rakan-rakan sambil ditemani kopi panas dan kegelisahan-kegelisahan tentang kewujudan. Barangkali, kata "eksistensial" terlalu mengawang dan sering dijaja sehingga hilang ertinya. Tidak ada yang janggal pun tentang itu. Kita semua melaluinya saban hari. Patah-patah perkataan yang sengaja dilontarkan dengan sinonim-sinonimnya yang langsung tidak pernah kita dengar! Ah, begitu menjengkelkan.
Pun begitu, setelah tiga tahun mendiamkan diri, saya menemukan kekuatan untuk menulis sedikit cerita pendek tentang pengalaman saya selama ini. Usah bimbang. Ia akan habis dalam empat perenggan lagi kerana saya akan kehilangan perkataan sedikit masa lagi. Oh, tidak. Saya bukan seorang yang pelupa. Cumanya, semakin lama saya menulis, semakin larut saya dalam tulisan. Dan ini bukan suatu hal yang bagus memandangkan ia membuatkan saya cepat mengantuk!
Berani. Itu sahaja yang mampu saya katakan kepada mereka yang menulis tanpa menggunakan nama pena. Mengapa saya katakan begitu? Tuan-puan, menulis adalah kerja yang sangat bahaya! Tapi ia tidak sama seperti menulis di laman-laman sosial -- Facebook atau Twitter. Tulisan-tulisan sebegitu barangkali adalah usaha untuk menutup ketidakupayaan diri sendiri. Menulis -- dalam erti kata yang sebenarnya -- bermaksud membuka diri kita yang sebenarnya. Bertelanjang di hadapan dunia dan merelakan setiap inci diri kita untuk ditekuni. Menulis adalah aksi di mana kita menumpahkan kesaksian paling luhur terhadap diri ke dalam bentuk tulisan untuk dikongsi dengan mereka di luar sana.
Menjadi penulis tidak ada bezanya dengan menjadi seorang pelakon filem porno. Penulis menelanjangkan jiwanya; membangkitkan syahwat pembaca untuk terus menekuninya. Pembaca mencapai ejakulasi dengan fikirannya bersama fikiran penulis tersebut. Saya fikir, tugas seorang penulis sama mulianya dengan tugas seorang pelakon filem porno. Mereka dari satu segi, mampu membebaskan penonton yang menatapnya.
Namun, di satu sisi yang lain, penulis juga berkongsi kehinaan yang sama dengan pelakon filem porno. Hampir kesemua daripada mereka ialah penipu! Seperti Dorian Gray yang menyembunyikan kejahatannya dalam sebuah potret, begitu juga dengan kedua-duanya. Apa yang diperlihatkan adalah penipuan yang dikelubung dengan keintiman-keintiman palsu yang meloyakan. Mereka menjadi dewa-dewi dengan mengambil kesempatan atas kedahagaan-kedahagaan penonton terhadap kasih sayang.
Setakat hari ini, saya masih lagi tidak menemukan jawapan untuk soalan pertama yang sentiasa saya tanyakan ketika bangun di pagi hari. "Apa yang aku buat di sini?"
wuuuu
BalasPadamHi kawan mawar!
BalasPadam