Selasa, 10 Januari 2012

Aku, Melampaui Aksara

Aku mahu menulis. Tapi aku tak tahu apa yg mahu ditulis. Aksara aksara di papan kekunci seolah mengeji aku. Tertawa dek kedangkalan minda separa psikotik. Abjad abjad yg bermain dalam kotak fikiran, tak mampu aku gabung menjadi perkataan lalu tukar menjadi ayat apatah lagi perenggan dan seterusnya cerita. 

Ya. Aku rasa aku sudah jumpa punca utama. Aku terlalu asyik mengambil tahu perihal dunia hingga hanyut ditelan fakta. Hanyut dek penulisan carca marba segelintir penulis subjek. Maaf. Mungkin terlalu keras tetapi itu hakikat. 

Terlalu asyik dengan dunia luar hingga aku lupa dunia aku. Dunia di mana matahari itu bulan dan bulan itu matahari. Dunia songsang ciptaan aku sendiri. Aku bebas di situ. Bebas mengekspresikan diri. Bebas dari segala cerita dongeng ciptaan manusia.

Perilaku manusia makin hari makin menjijikkan aku. Ya. Aku semakin berasakan aku mula menjadi seperti mereka. Perlahan lahan aku ditarik masuk ke realiti kefaktaan mereka. Aku tak mahu! Aku tak mahu dibendakan oleh sesuatu yg punya nilai tetap. Aku mahu cari. Cipta nilai aku sendiri. Nilai yg boleh buat minda aku bebas. Nilai yg hanya wujud dalam dunia aku.

Aku mahu berehat. Berehat dari ambil tahu perihal realiti. Tapi aku tak mampu. Sebab realiti itu keji. Makin ditolak, makin ia datang. Menggoda aku untuk berpartisipasi. Mengheret aku ke lembah kefaktaan seterusnya mengubah aku menjadi subjek. Subjek yg hanya tahu melaung tapi hakikatnya kosong. Subjek yg hanya lantang mengkritik tapi hakikatnya tak punya semantik. 

Aku tak mahu jadi begitu. Aku juga tak mahu jadi seorang yg pandai dalam menyusun dan merungkai sintaksis tetapi tidak tahu apa yg tersirat disebaliknya.

Sebetulnya, aku takut pada realiti. Aku takut realiti itu akan membunuh aku. Siapa aku. Nilai aku. Itu bukan hak realiti untuk tentukan. 

Aku perlu kuat. Kuat untuk menangkis segala infeksi yg mendatang. Kuat untuk mengharungi realiti dan memelihara nilai diri. Aku tak boleh jual dunia aku kepadanya. Kerna dunia itu yg beri aku semangat untuk teruskan hidup ini.

Dan jika kamu sahabat, melihat aku jatuh dalam cengkaman realiti. Datanglah ke depan dan tampar aku sekuat hati. Kerna aku perlu disedarkan dari hari ke hari.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan