Khamis, 26 Disember 2013

kerja

Setiap hari kita kecewa; dengan kerajaan, pembangkang, pentadbiran universiti, kenalan, teman, sahabat, keluarga, diri sendiri dan kehidupan. Kekecewaan mengajak kita untuk berharap pada hari ini untuk dikecewakan semula pada keesokannya.

Kekecewaan adalah apabila kita menatap kegembiraan kita, dan bersinggung langsung dengannya sehari-hari dengan menyedari bahawa kegembiraan itu tidak memerlukan kita untuk terus gembira.

Hal-hal yang dekat, tetapi jauh meninggalkan kita.

Dan kekecewaan terbit dari harapan yang menakutkan - untuk melawan ketakutan.

Rabu, 25 Disember 2013

odds

I used to be a gambler, but back then somewhere in the past, I gave all in.

And now I'm broke.

Isnin, 16 Disember 2013

beruang comel yang tidur

Kadang-kadang, sampai suatu ketika bilamana tanggungjawab terhadap kebebasan menjadi sangat melelahkan. Lalu apa yang kita mahu lakukan cuma duduk sendirian dan bercakap dengan diri sendiri. Justeru, air mata menjadi tanda yang kita masih lagi manusia.

Jumaat, 13 Disember 2013

trauma

Untuk melupakan adalah untuk mengingat. Memori yang hendak dilupakan sering menjadi ingatan yang sentiasa hadir.

Dengan itu, seseorang akan terjerumus dalam pusaran. Masa lalunya menjadi masa sekarang, seterusnya menghantui masa depannya. Justeru, untuk mengatasinya adalah dengan mengingat kembali kenangan-kenangan tersebut lalu menerimanya sebagai sesuatu yang telah berlalu dan pergi.

Masa lampau harus ditinggalkan di tempatnya, iaitu di belakang.

Apa yang perlu dilakukan adalah dengan merelakannya.

Isnin, 9 Disember 2013

satu hati

Sampai masa, kita sama bertelanjang. Meneliti luka-luka lama; sama ada yang sudah berparut atau yang masih lagi berdarah.

Ahad, 8 Disember 2013

kisah tentang seorang Diri

Ada satu kisah tentang seorang petualang yang sesat di sebuah negeri. Dia tidak pernah melalui lorong-lorong yang berserakan didalamnya. Binaan-binaan yang mengelilinginya dirasakan begitu asing sekali. Setiap orang yang dilepasi, menegurnya dengan begitu mesra. Namun, mereka itu langsung tidak dikenalinya!

Segalanya terpisah. Semuanya meresahkan.

Sampai di pinggir negeri tersebut, petualang menemui sebuah pondok kecil. Keluasannya cuma mampu memuatkan sebuah katil, meja belajar yang kecil serta sebuah almari yang mengandungi jilid-jilid buku yang bahasanya amat sukar untuk difahami.

Dia duduk di hadapan pintu pondok tersebut. Tuan punya pondok tersebut pasti merupakan seorang yang amat istimewa. Dia harus menemuinya!

Sekonyong-konyong, seorang perempuan berjalan mendekatinya. "Selamat pulang, wahai petualang".

"Pulang? Siapa kamu? Apakah kamu mengenali aku? Rumah siapakah ini?" petualang bertanya kehairanan.

"Aku ini kamu. Aku mengenali kamu, tetapi kamu tidak pernah cuba untuk mengenali aku. Seperti aku ini, rumah ini juga telah dipinggirkan oleh kamu."


Dan dengan serta-merta, petualang itu direnggut sepi.

Rabu, 4 Disember 2013

melampaui batas gender

Seorang perempuan mulia tidak kepingin untuk menjadi itu atau ini. Dia bahkan menentang kesemuanya - untuk menjadi perempuan.

Selasa, 26 November 2013

untuk Siti

Seringkali, yang paling hampir adalah yang sentiasa mengecewakan. Namun, ia juga yang tak putus melakarkan senyuman di wajah kita.

Kesabaran tanda kemuliaan, begitu juga dengan kemaafan.
 
Maafkan saya.

"Cari perempuan mulia yang menentang sehingga mati, cari perempuan yang menentang meskipun sudah mati". - Perempuan Nan Bercinta

Ahad, 24 November 2013

ragu tanpa lagu

Ribut di musim semi
Aneh sekali
 
Entah ke mana perginya langit
saat guruh silih membingit
 
Bersama derai-derai hujan yang luluh-meluluhkan
 
Ada perit dan sakit
Sekali bahagia yang terpalit
Campakkan saja rasa itu di kejauhan
 
Biar terpisah
Biar resah
 
Sepi dan sendiri dapat dimengerti
Mengapa harus pergi?

Khamis, 21 November 2013

fikiran dan fikiran

Kata Descartes, "aku berfikir, maka aku ada". Hakikat di luar tercipta melalui kesedaran manusia - yang berada di tingkat fikiran.

Namun, fikiran aku itu adalah kamu, dan hanya kamu.

Seperti kata kamu, "keberadaan kamu merupakan kewujudan aku".

Isnin, 18 November 2013

pantun orang rajin

Mana pergi si Jebat malang,
hilang perisai ditikam keris.
Setiap hari di Tun Sri Lanang,
haih, i ken dai laik dis.

Sabtu, 16 November 2013

siapa?

Setidaknya, dapat juga merasa kembali kecewa yang sudah lama tak berkunjung.

Jumaat, 15 November 2013

cinta

Cinta memang sifatnya tiba-tiba. Kita tidak tahu bila atau bagaimana ia hadir. Bahkan, kita langsung tidak menyedarinya.

Khamis, 14 November 2013

menghapus jejak-jejak kebenaran

Hakikat tidak betah dicipta lewat kesedaran manusia. Ia sentiasa diam di dalam kelubungnya, menunggu dalam ketiadaan. Kesedaran sering dilihat sebagai suatu penarikan - melahap segala apa yang ada di luar untuk diketengahkan sebagai sebuah hakikat. Barangkali cara fikir itu tidak tepat. Kesedaran sifatnya adalah melepaskan. Manusia menemukan Hakikat dengan melepaskan kesedarannya - menjadi kosong - lalu membiarkan tanggapan-tanggapan yang ada di sekelilingnya untuk bebas keluar dari persembunyian.

Hujan merupakan satu cara bagaimana Ada menampakkan dirinya. Hakikat yang ditemukan lewat kesedaran yang kosong. Hujan menyatakan dirinya saat tubuh menangkap rasa sejuk yang tak terpegang, saat rintik dan bau nyaman yang saling mengandaikan hadir menyapa. Saat itu, Ada dan Ketiadaan sama-sama merangkul dan dirangkul kesedaran. Dan ternyata, Ketiadaan tidak pernah hilang, dan Ada tidak pernah sekalipun wujud.

Mungkin sudah tiba masanya untuk kita menempik kembali Pencerahan, bangkit dan melawan kembali Manusia yang menghancurkan tubuh-tubuh kesedaran konkrit seorang manusia.

Mungkin sudah tiba masanya untuk aku, kamu, dia dan mereka sama-sama menata sebuah kemanusiaan yang benar-benar manusiawi.

Selasa, 12 November 2013

Isnin, 11 November 2013

Angst -

Cemas merupakan sebuah perlawanan terhadap keselesaan. Manusia merupakan makhluk yang cemas - sentiasa curiga dengan alam, yang lain, malahan dirinya sendiri. Ia mengacu kepada kesedaran.

Aku cemas, maka aku ada.

Sabtu, 9 November 2013

Jumaat, 8 November 2013

Joker yang hampa

Hidup sehari-hari perlu dinikmati dengan santai. Jika terlalu serius, mungkin saja kita akan terlepas pandang akan hal-hal kecil yang membahagiakan.

Joker tidak saja berdiri sebagai satu sosok antagonis yang mengerikan. Bahkan, kengerian itu sendiri merupakan wajah sebenar manusia. Ia melambangkan seorang manusia yang tidak siap; sebuah kemenjadian yang cuba membina maknanya.

"Why so serious?"

Ungkapan ini tidak diulang-ulang secara sambil lewa. Joker mengajak kita untuk menikmati hidup dengan sepenuhnya. Bersikap lewah dan menanggapi kehidupan dengan sebebasnya.

Manusia tidak harus terbeban dengan moral, malah kita harus mempertanyakan kembali; apa itu "kebaikan" dan "kejahatan". Joker tidak langsung menimbang kedua-dua nilai tersebut. Ia menghancurkannya menjadi kosong. Nil. 
 
Di hadapannya tidak ada satu kebaikan atau kejahatan pun yang tersisa. Setiap tindakannya bukan atas dasar untuk berbuat jahat dan tidak juga untuk menentang kebaikan. Joker melakukannya kerana itu hasratnya; ia berkehendak untuk bebas. Ia tidak memerlukan satu apa pengakuan pun daripada orang lain. Keakuannya ditegaskan melalui kesedarannya.
 
Watak Joker sama sekali berbeza dengan Superman. Joker merupakan sebuah "perjalanan" - cita-cita seorang manusia menuju Manusia. Manakala Superman merupakan gambaran kepada Manusia - yang telah siap. Ubermensch. Barangkali kerana itu lah kita lebih terkesan dengan watak Joker berbanding Superman. Ia melempar kita ke dalam pergelutan sehari-hari yang sentiasa kita hadapi.

Di dalam diri Joker terkandung cita-cita yang dikongsi oleh semua manusia dengan "m" kecil. Cita-cita untuk menjadi abadi.

Selasa, 5 November 2013

November

5 November adalah simbol. Apabila ia hadir bersama 1 Muharam, alasan apa lagi yang mahu kita pakai untuk kekal menjadi banal?

Selasa, 29 Oktober 2013

hadiah Oktober kepada dunia

Makna tidak harus hadir lewat simbol. Manusia mencari makna dirinya sambil mencerap simbol-simbol yang ada di luar dirinya. Kedua-duanya perlu saling mengandaikan. Tanpa simbol, makna tidak dapat ditemukan, manakala simbol tanpa makna tidak lebih sekadar sebuah kesia-siaan.

Levinas menanggapi yang-lain sebagai sosok yang harus diutamakan. Kemurnian pandangan beliau sama sekali bertentangan dengan Canetti yang melihat yang-lain sebagai sebuah teror. Namun, keduanya mempunyai persamaan dalam tanggapan mereka iaitu; diri memberi makna akan keberadaannya dengan mencerap hal yang berada di luarnya.

Pengalaman merupakan hal sehari-hari yang ditempuh dalam memaknakan diri. Hari ini tentu saja berbeza dengan semalam dan esok merupakan pengalaman baru yang tak diperoleh hari ini. 29 Oktober tahun ini tidak sama dengan 29 Oktober 21 tahun yang lalu. Waktu sangat misteri. Ia sentiasa berada di samping kita tanpa membocorkan sedikit pun rahsianya. Walau sekeras mana pun kita cuba merenggutnya, Waktu tidak akan pernah gagal untuk meloloskan diri.

Barangkali jika Waktu dapat berbicara, ia akan mengungkapkan patah-patah ini dengan lantang. "Noli me tangere". "Usah genggam aku". Seperti Tuhan, Waktu tidak dapat diobjektifkan. Sebijak mana pun Einstein, beliau cuma mampu mengungkapkan Waktu dalam bentuk yang relatif tergantung. Ia sentiasa mengalir dan tidak pernah menunggu siapa dan apa pun.

29 Oktober tidak hadir sekadar sebuah tarikh melainkan sebagai sebuah makna yang terlepas dalam suatu sosok. Makna yang terus menunggu untuk dimaknai.

Selamat ulang tahun kelahiran D. Semoga masa lalu, masa sekarang dan masa hadapan menjadi milik kamu.

Isnin, 28 Oktober 2013

Leon Trotsky

Trotsky sehingga sampai nafas terakhirnya berpegang teguh dengan kepercayaan bahawa revolusi kekal akan terlaksana. Soviet menghampakannya. Stalin melenyapkan semua yang pernah dikenalinya. Dan revolusi kekal idamannya runtuh bersama-sama dengan Tembok Berlin.

Pokoknya, kita harus percaya.

Sabtu, 26 Oktober 2013

Revolusi Oktober

25 Oktober, jika ditanda menggunakan kalendar Julian merupakan tarikh pecahnya revolusi Bolshevik. Munculnya sosialisme dalam bentuk yang konkrit membawa harapan akan sebuah pembebasan. 

Namun, seperti juga sebuah negara sosialis yang gagal, di hujung sebuah harapan adalah kekecewaan. Tsar dijatuhkan lantas segera digantikan dengan sosok tirani yang baru. Sosialisme yang sepatutnya tumbuh dengan murni ditanam secara paksa oleh Negara. Masyarakat nyata lebih terpinggir dari sebelumnya. Tunas-tunas demokrasi dipijak, diinjak hancur sehinggakan yang tinggal cuma sisa-sisa perlawanan yang hampir padam.

Impian kekal sebagai suatu cita yang terawang-awangan. Bagaikan meminta pengakhiran yang membahagiakan untuk sebuah antologi kekecewaan.

Mengambil iktibar 25 Oktober; revolusi tidak harus selesai. Cerita kita perlu terus diceritakan walau tanpa penceritanya, kerana ia tidak akan pernah bertemu noktah.

Semoga 'R' tidak hanya menjadi sebuah 'r' yang sia-sia.

Isnin, 30 September 2013

sedetik yang dipinjamkan

Rokok sebagai teman hampa
baik gembira mahu sayu
tak betah diam tanpa kata.

Usah pinta dari aku, tapi Waktu!

Satu minit yang kau curi
itu tak pernah aku miliki.

Maafkan aku.

Sabtu, 28 September 2013

tertinggal waktu

Angin sepoi lalu,
bawa kisah sayu.

Sayang, aku sudah bunuh rindu itu.

Jumaat, 27 September 2013

negeri asing

Segalanya tentang Marx adalah masyarakat, tetapi pada akhirnya, Marxisme itu sendiri yang telah menghumban masyarakat ke dalam lembah keterasingan.

Khamis, 26 September 2013

lewat

Seperti tentera berceloreng, Waktu datang menggempur dalam diam. Sesudah kita nyaman dalam tidur yang lelap, kesesakan hadir dalam keadaan jaga yang dirundung realiti. Dan dalam kesesakan itu dapat ditemukan Waktu yang terlupakan.

semua tentang kita

Cerita kita cuma serpihan kecil yang berserakan dalam taburan membukit dunia.

Sehingga sampai suatu masa, ia menjadi hal yang terlupakan.

Sabtu, 21 September 2013

kembali

Mengapa datang?

Dalam ketika kau
sudah mula melangkah
cuba mencari janji masa depan.

Usah lagi berpaling kepada yang tertinggal.

Sayang,
kita ini dipaut kenangan.
Bukan satu sama lain.

Pergi lah.

Jumaat, 20 September 2013

kerinduan adalah kehampaan

Kepada pemeluk teguh.

Tuhanku,
dalam termangu
aku masih menyebut namamu.

Biar susah sungguh
mengingat kau penuh seluruh.

Cahyamu panas suci
tinggal kerdip di lilin kelam sunyi.

Tuhanku,
aku hilang bentuk.
Remuk.

Tuhanku,
aku mengembara di negeri asing.

Tuhanku,
di pintumu aku mengetuk.
Aku tidak bisa berpaling.



Chairil Anwar. Doa. 13 November 1943.

Isnin, 16 September 2013

September

Jika kehidupan sebegitu hampa, mengapa manusia masih meneruskannya? Malah, menjalaninya sehari-hari dengan penuh keluh-kesah. Tanpa putus.

Rabu, 11 September 2013

9

Menemukan September, serta segala kehampaan yang dibawanya.

Khamis, 22 Ogos 2013

Cetera TigaBelas

"Rin!"

Dia menoleh ke belakang. Kelihatan seorang lelaki sedang berlari ke arahnya sambil menjerit memanggilnya. Sejurus kemudian, pandangannya menjadi kelam dan langsung gelap.



Tamat.

nil

Ketiadaan juga meletakkan batas. Memagari suatu daerah yang terlarang dan tidak harus dikunjungi. Manusia menghindari ketiadaan, justeru berhimpit di dalam ruang ada - yang sama sekali menyesakkan.

Namun manusia barangkali terlupa. Tuhan itu bangkit dari ketiadaan.

Sabtu, 17 Ogos 2013

mendatar

Agama tidak menuntut keseragaman, bahkan ia memperdamai keberagaman.

Khamis, 1 Ogos 2013

antropo

Apakah manusia itu?
Suatu ketiadaan
di hadapan ketakterbatasan,
suatu keseluruhan di hadapan ketiadaan,
suatu pertengahan di antara keseluruhan dan ketiadaan.

 
 
- Blaise Pascal

gadis pinafor

Lana merupakan seorang gadis yang pendiam. Rambutnya yang ikal separas pinggang itu berwarna perang keemasan dan sering dibiarkan mengurai dihembus angin. Saya sering memerhatikannya di balik dinding. Dia datang ke sekolah dengan berjalan kaki. Rumahnya tidak lah pula saya ketahui di mana.
Lana duduk di hadapan saya. Sewaktu cikgu mengajar, dia akan mendiamkan diri dan menumpukan sepenuh perhatiannya, tidak seperti gadis-gadis sebayanya yang lain. Mereka lebih gemar berbual dan berbisik-bisik di dalam kelas. Sungguh menjengkelkan. Pada waktu rehat pula, Lana akan duduk di satu sudut kantin berseorangan. Dia tidak mempunyai kawan dan makan daripada bekal yang dibawanya setiap hari ke sekolah.
Tamat sahaja waktu persekolahan, Lana pasti akan kelihatan gusar dan akan segera pulang ke rumah. Pernah juga saya cuba hendak berbual dengannya tetapi niat itu saya matikan kerana saya memang seorang yang penakut. Jadi, saya cuma mampu memerhatikan Lana mengangkat begnya dan berjalan keluar dari pagar sekolah sehingga tidak kelihatan lagi.
Suatu hari, Lana bergegas pulang ke rumah sejurus loceng akhir berbunyi. Saya seperti biasa, memerhatikannya hilang di balik pintu. Namun, hari itu sangat luar biasa dan berbeza dengan hari-hari biasa yang lain. Saya terlihat ada sebuah buku berwarna biru tergeletak di atas meja Lana. Tanpa berfikir panjang, saya terus mengambil buku itu dan menyimpannya di dalam beg.
Keesokan harinya, semasa dalam perjalanan ke sekolah, saya berselisih dengan Lana. Mukanya sangat muram dan matanya kemerahan seolah semalaman menangis. Hari itu juga luar biasa, sama seperti kelmarin. Saya mendapatkan Lana dan memberanikan diri untuk bercakap dengannya. Dari mana saya memperoleh keberanian itu, tidak lah saya ketahui.
“Selamat pagi, Lana,” ucap saya gugup.
“Oh, hi. Selamat pagi juga,” Lana membalas dengan sugul.
“Kenapa awak sangat muram?” saya tidak berputus asa dan cuba meneruskan perbualan.
Tiba-tiba, Lana mula menangis, menangis dan menangis. Saya sangat terperanjat dan mula berasa cemas. “Lana, kenapa awak menangis?”
“Diari saya hilang. Oh, harapnya tidak ada sesiapa yang membacanya. Sungguh memalukan jika rahsia saya dibaca oleh orang lain!” Lana semakin kuat menangis.
“Buku biru tu diari awak ya? Saya nampak awak tertinggal di atas meja. Jadi, saya tolong simpankan untuk awak,” saya menyelongkar beg dan menghulurkan buku biru itu kepadanya.
Lana melihat saya dengan muka yang terkejut bercampur curiga. “Oh, Tuhan! Saya sangka buku ini sudah hilang. Awak baca kandungan buku ini?”
“Sudah tentu tidak. Buku biru ini rahsia awak dan saya cuma menyimpannya. Awak boleh percayakan saya. Lihat, jika saya membacanya, sudah pasti saya sudah disumpah menjadi katak sekarang,” saya cuba meyakinkannya.
Jawapan saya membuatkan Lana tersenyum. “Ya. Sudah tentu awak tak akan membacanya. Maafkan saya kerana menuduh awak,” dia mengambil buku biru itu dari tangan saya. “Mahu tak awak jadi kawan saya?”
Soalan yang tiba-tiba itu membuatkan saya sangat terperanjat. Saya cuma mampu menganggukkan kepala berulang kali memandangkan lidah saya sudah terkunci. Lana tersenyum buat kali yang kedua. Hari itu sungguh luar biasa!
Selepas dari hari itu, saya dan Lana menjadi kawan baik. Setiap hari kami akan bertemu di simpang dan berjalan bersama ke sekolah. Lana selalu menceritakan tentang taman di rumahnya yang dipenuhi dengan bunga mawar berwarna biru. Katanya, mawar-mawar tersebut sentiasa menemaninya dan menjadi rakan berbual yang menyeronokkan. Setiap kali itu juga, saya akan bertanya dengan kehairanan kepadanya, “Boleh kah mawar bercakap?”, dan setiap kali itu juga dia hanya akan tersenyum dan mengangguk.
Kehidupan saya dan Lana telah berubah. Setiap kali waktu senggang, Lana akan berpaling ke belakang dan bercakap dengan saya tentang kupu-kupu yang sering mengganggu mawar-mawarnya. Kata Lana, kupu-kupu itu sungguh nakal kerana suka mengusik mawar birunya yang pemalu. Saya pula akan mendiamkan diri dan tersenyum. Sekali-sekala, saya akan mengusiknya dengan mempamerkan mimik muka bosan. Lana akan tertawa dan memanggil saya sebagai kupu-kupu nakal.
Hubungan saya dan Lana bertambah intim sehinggakan dia menjemput saya untuk menemaninya makan di kantin pada waktu rehat. Lana membawa bekal dari rumah. Ibunya tidak mempercayai masakan yang dimasak oleh kedai. Setiap hari, ibunya akan memasakkan nugget dan dua ketul ayam goreng untuk dibawa oleh Lana ke sekolah. Hari itu, nugget yang dibawa oleh Lana berbentuk hati. Dia mengepakkannya kepada dua dan memberikan setengah daripada hati itu kepada saya.
“Nah, saya hadiahkan separuh hati saya kepada awak,” Lana tersenyum sambil menggigit baki nugget yang dipunyainya.
“Separuh saja? Saya mahu keseluruhan hati awak dan menyimpannya dalam kocek ini,” saya memegang kocek di baju yang menutupi perasaan saya.
“Ha, awak memang kupu-kupu yang nakal!” serentak dengan itu, saya dan Lana berdekit ketawa.
Pada waktu pulang, saya akan menemani Lana berjalan sehingga ke simpang yang memisahkan jalan ke rumah kami. Sepanjang perjalanan, Lana akan bernyanyi. Katanya, lagu-lagu itu dibikinnya sendiri dan saya merupakan yang kedua mendengarnya selepas mawar biru di tamannya. Suara Lana sangat merdu dan berhantu. Ia sering membuatkan saya tidak dapat tidur malam dan menarik saya untuk jatuh cinta berulang kali kepadanya.
Lana berjanji akan membawa saya ke tamannya yang dipenuhi dengan mawar biru. Dia juga mahu mengajarkan saya bahasa mawar supaya kami dapat bersama-sama menikmati persembahan orkestra daripada mawar-mawar biru kepunyaannya itu. Lana sungguh istimewa. Dia membuatkan hari-hari yang saya lalui menjadi luar biasa dengan kehadirannya. Setiap hari saya akan jatuh cinta sebanyak tiga kali dan setiap hari juga, saya akan menyimpan hati Lana di dalam kocek baju saya. Jemu merupakan satu perkara yang amat mustahil untuk terjadi apabila saya bersama dengan Lana. Ia sangat indah dan menggembirakan.
Namun, itu cerita sepuluh tahun yang lepas. Habis sahaja persekolahan, Lana telah berpindah ke Amerika. Sekarang, dia sudah punya ramai kawan dan suaranya yang berhantu itu dapat didengari oleh semua orang. Cerita saya dan Lana pula tertanam dalam melodi yang melankolik dan penuh kesunyian yang sering dinyanyikannya dalam kesedihan. Sejak dari itu, hari-hari saya yang luar biasa telah bertukar menjadi rutin-rutin yang membosankan dan tidak lagi menyeronokkan. Jika saya rindukan Lana, saya akan mengeluarkan separuh hati dari kocek baju dan bertukar menjadi kupu-kupu supaya saya dapat menari bersama mawar biru kesukaan kami.

Ahad, 28 Julai 2013

ada dan tiada

Tuhan tidak harus ada, manakala manusia perlu menghilangkan Diri.

Rabu, 17 Julai 2013

titik tolak

Haruskah kita berpaling
dan memutar kembali layar silam
bagi menamakan diri kita
 
atau

mungkin saja memaku
dan melarikan pandangan kita
jauh ke depan untuk cuba menangkapnya?

Ah, betapa kita ini terlempar dalam zaman sendiri...

Ahad, 14 Julai 2013

kopi dan pasta

Malam yang sunyi seperti kebiasaannya 
berlaku pada hari hari biasa.
Lantas kesunyian yang 
sebelumnya itu menenangkan
pantas direnggut oleh mereka.

Betapa susunan lirik dan nada 
yang nyaris halus alunannya
diulang ulang sehingga menjadi sebuah harmoni 
yang celaru dan membingitkan.
Mendatar dan beragam.

Justeru untuk apa melontarkan suara?
Adakah cukup sekadar berpuas hati 
dengan mengulang ruwet ruwet remeh kehidupan?
Tentu sekali tidak!
Barangkali untuk menutup kesunyian
yang sentiasa ditanggap sebagai kosong.

Lalu kita bertanya lagi;
untuk apa kita berpasangan?
Adakah atas alasan manusia memerlukan cinta
atau sekadar pengisi kekosongan?
Dengan mudah kita menjawab;
kekosongan mampu saja diisi
walau tanpa kehadiran pasangan di sisi.

Kita seterusnya berangkat kepada ia;
adakah manusia memerlukan cinta?

Musik serta merta terhenti
dan kesemua mereka dibungkam sepi...

Selasa, 9 Julai 2013

Aku dan Yang Lain

Cinta mampu menukar sebuah penegasan kepada rayuan yang penuh perasaan.

Apabila pertama kali Aku berjumpa Kau, dengan tubuhku yang telanjang, dengan penuh ketakutan aku menjerit, "Jangan bunuh aku!". Itu merupakan satu penegasan bahawa kewujudan Aku ini tidak akan mampu direngkuh oleh Kau. Namun, lewat penegasan itu, keakuan yang menolak segala macam ketidaktahuan akan pasrah kepada kebeningan wajah yang penuh misteri. "Cintailah Aku, agar kewujudan Aku dapat dimaknai oleh Kau".

Isnin, 8 Julai 2013

agama dan rasional

Lewat Pencerahan, sejurus kesedaran dipusatkan kepada manusia; kemanusiaan yang diharapkan sebagai jalan keluar langsung menjadi gari gari yang memasung tubuh. "Apa selepas Tuhan?", begitu jeritan manusia manusia yang dahagakan kepastian. Justeru, apabila kebenaran menjadi pembenaran, penegasan terhadap akal lantas menjadi sebuah kepercayaan. Dan manusia, atas nama kemanusiaan, mula melihat "yang lain" sebagai mereka-yang-tidak-perlu-dikisahkan. Kemanusiaan akhirnya muncul sebagai sebuah naratif agung yang di dalamnya tidak terkandung walau seorang pun manusia.

Lalu adalah mustahak dalam menimbang kembali kemanusiaan, kita mencari titik persamaan yang tersorok dalam sekian banyak perbezaan antara semua.
Seperti baris baris karangan Hardiman;

Kita semua berfikir dan percaya;
berfikir dengan percaya;
percaya dengan berfikir.

Jika kepercayaan kita menghalau pemikiran,
itu pun sebuah fikiran melawan fikiran.
Jika fikiran kita menghalau kepercayaan,
itu juga sebuah kepercayaan yang menghalau kepercayaan.

Kepercayaan mencari pengetahuan,
dan pengetahuan mengukuhkan kepercayaan.

Thus Spoke Zarathustra

"Tuhan sudah dibunuh!" Jerit si gila tersebut.

Beberapa ratus tahun kemudian, mereka mengangkatnya menjadi Tuhan yang baru.

Sabtu, 6 Julai 2013

Isnin, 24 Jun 2013

"N" besar

Dan saya duduk di sudut ini, sambil berfikir akan sebuah dunia yang penuh dengan kerinduan. Dunia yang tidak lagi saya dakapi...

Quis ut Deus

Seseorang pernah berpesan, "Agama juga cenderung untuk buntu, sepertimana seorang manusia yang seringkali tersesat".

Kisah ini merupakan sebuah kisah cinta. Bahkan, kisah ini tidak lokek dengan kesilapan-kesilapan yang mengecewakan. Tentu saja, dalam memerihalkan kisah ini, saya bertemu dengan pelbagai kesulitan. Barangkali, kesulitan-kesulitan yang hadir itu seharusnya diatasi atau mungkin saja dibiarkan menyelubungi.
 
Kisah ini bermula dengan satu persoalan mudah yang amat rumit.
 
"Siapa aku?"
 
Nama. Saya mempunyai masalah dengan nama. "Siapa aku?" merupakan sebuah persoalan yang sangat rumit untuk dicari permasalahannya. Ya. Pasti saja saya mempunyai nama. Kamu juga begitu. Namun, nama ini bukan lah nama yang dipilih sendiri oleh saya melainkan sesuatu yang diberi. Nama ini mungkin saja sesuatu yang dipinjamkan, atau dikurniakan, atau mungkin saja dipaksakan ke atas saya.

Saya tidak tahu akan asal usul nama ini. Justeru, bagaimana mungkin untuk saya berasa tenang jika nama pun merupakan suatu makna yang dipaksakan ke atas saya? Mungkin tenang itu datang kemudian. Mungkin, dengan belajar untuk menerima makna ini, saya mampu untuk berkenalan dengan jiwa saya.

"Ada apa dengan nama?"

Pernah juga saya terdengar cerita bahawa nama secara tidak langsung akan menggambarkan diri seseorang. Sangat absurd! Pada fikiran saya, nama tidak menggambarkan apa apa. Malah, nama mungkin saja hanya sekadar label yang diletakkan ke atas seseorang untuk melihat susur galur kewujudannya. Dan barangkali, nama merupakan suatu beban yang harus digalas seumur hidup.

Pernah dengar akan kisah seorang pencari yang berbicara dengan mawar? Namanya Diana Oliveira...

rindu

Kata Adorno, "musik merupakan doa yang terlepas". Kita menyusun, mencipta malah mendengar susunan nada yang sekaligus menyampaikan doa kita akan sebuah kerinduan yang tak terungkap. Dan semestinya, kerinduan itu terkandung cinta yang tak tersampai.

Jumaat, 21 Jun 2013

Khamis, 20 Jun 2013

Angst

Sekuat tawa penuh keriangan
tak cukup menghilangkan getar.
Apa lagi sebuah tangisan bisu
yang bungkam dalam sendu.

Dalam pilu yang menghurung
makin lantang ia bernyanyi.

Mengapa?
Atau apa?

Segala yang tak siap
seperti sudah selesai.
Semua yang tak tercapai
seolah habis tertunai.

Aku menanti
dan setia menanti.

Enam kaki di bawah
berselubung dengan sunyi
yang langsung tidak sepi.

Sungguh! Aku tidak cemas lagi.

Rabu, 12 Jun 2013

hapus

Cinta ni nihil. Ia tak punya moral dan tak juga ditentukan prosesnya. Apa yang wujud cuma dua hati yang saling berbicara.

Selasa, 11 Jun 2013

pseudo

Baik agamawan, nasionalis mahupun anarkis sekalipun; kalau dah dogmatik tu, tak ada beza pun.

Isnin, 10 Jun 2013

justeru apa?

Tunggu aku... 
sehingga segala kemahuanku 
hancur menjadi debu 
lalu yang tinggal 
hanya kamu.

Tunggu aku... 
sehingga aku tidak punya 
kemahuan lagi 
selain kamu.

Tunggu aku... 
sehingga segala kemahuanku 
menjadi kamu.

Dan ketika semua
kemahuanku bungkam,
kamu menerjah keluar
dari kehampaan.

Ahad, 12 Mei 2013

apabila Ada menelanjangkan dirinya

"Aku berfikir, maka aku ada," Descartes mengungkap patah patah tersebut. Kedengaran angkuh sekali.

Namun Descartes barangkali lupa. Hal yang diluar manusia bukan lah sesuatu yang tercipta akibat daripada kesedaran manusia. Cinta misalnya.

Cinta bukan lah dicipta lewat kesedaran manusia. Bahkan, cinta itu sendiri merupakan sebuah kesedaran.

Dan keasyikan cinta langsung membolak balikkan rasional manusia...

Rabu, 1 Mei 2013

Khamis, 25 April 2013

one of a kind

I am not the kind that will be forgotten. Why? They will always hate me.

Khamis, 18 April 2013

Selasa, 26 Mac 2013

Chairil yang buntu

Justeru, dalam apa jua cara pun yang mampu terfikirkan; pada akhirnya ia akan menjadi kosong. Baik dari permulaan mahupun di hujungnya. Dalam ketika kamu mungkin girang kerna telah sedikitnya mengenal aku. Ia tiba tiba menghilang lalu bersembunyi di balik waktu.

Barangkali, yang dikenal itu cuma topengan topengan - yang sentiasa bertukar ganti - mengikut apa adanya pada setiap mereka yang dijumpai. Dan ketika topengan itu sedikit tersingkap, kamu mula mempersoalkan kembali. Apakah aku? 

Kamu mula mengorak langkah waspada kerna yang di hadapan kamu itu merupakan suatu hal yang langsung tak dimengerti. Dan lebih menggusarkan, ia seperti cawan yang dihancurluluhkan maknanya dengan hanya satu persoalan mudah; Benarkah ini cawan? Buktikan!

Pasti saja kamu berang. Aku - hal yang kamu dakap saban hari - ini tidak seperti aku yang kamu kenal dahulu. Soalnya, apakah kamu yakin aku yang terdahulu itu merupakan aku yang sebenarnya aku?

Barangkali, aku bukan begitu dan juga bukan begini. Pasti saja aku ini merupakan hal yang tak siap dan mungkin saja tak akan tersiap. Setiap hari, sebahagian daripada aku akan runtuh lalu digantikan dengan rangka yang lain. Ketidakpastian itu merupakan sebuah kepastian dalam menanggapi aku ini kerna sebuah kepastian tentu saja memuaskan malah boleh jadi membosankan.

Akhirnya, pertanyaan pertanyaan mengenai aku itu di dalamnya terkandung kehampaan yang tersangat berat dari kamu. Dan ia juga merupakan pertanyaan yang sentiasa berlegar dalam fikiran aku saban malam.

Untuk itu, jawapan kepada persoalan kamu ialah; kamu seperti ketakutan, yang sentiasa berdamping dengan aku - tak dapat dipisahkan.


Seperti Chairil, yang sama tak mengerti dalam Sia-sia;

Penghabisan kali itu kau datang
Membawa kembang berkarang
Mawar merah dan melati putih
Darah dan suci.
Kau tebarkan depanku
Serta pandang yang memastikan: Untukmu.

Sudah itu kita sama termangu
Saling bertanya: Apakah ini?
Cinta? Keduanya tak mengerti.

Sehari itu kita bersama. Tak hampir-menghampiri.

Ah! Hatiku yang tak mau memberi
Mampus kau dikoyak-koyak sepi.

Chairil Anwar
Februari,1943 


P/s: tidak seperti Chairil, aku ini sudah dicuri oleh kamu.

Isnin, 25 Mac 2013

senyum yang tiada balasan

Seolah yang dipulangkan tadi ialah hati aku. Dan ia dipulangkan bukan dengan tangan sendiri.

Rabu, 20 Mac 2013

lolos

Petang itu kita galak berbicara
dalam ketika kau diam dan aku membisu.
Keduanya becok: menyambung rindu.

Lalu kau lontarkan pandangan
yang di dalamnya terkandung seribu persoalan.
Selesai?
Ya.
Tidak!

Usai itu kita sama celaru:
mendakap ruang
saling keliru.
Kau di sini
dan aku di situ.

Kedua kita sentiasa dicemburui waktu.

Rabu, 20 Februari 2013

tolak dan tambah

Perihalkan dua hal; pertama: cinta dan kedua: benci. 

Keduanya langsung sama dalam sebuah pertentangan yang nyata. Mereka saling menggamit rindu.

Selasa, 15 Januari 2013

aku bermimpi untuk bermimpi

Lama dulu, ketika lelaki merupakan seorang budiman.
Lama dulu, ketika Tuhan itu maha penyayang.
Lama dulu, ketika semua gadis merupakan puteri.
Lama dulu, ketika cinta itu suci.
Lama dulu, ketika darah merupakan dosa.
Lama dulu, ketika nyanyian itu suara.
Lama dulu, ketika masa merupakan surga.

Lama dulu, ketika mimpi itu realiti...


Ahad, 6 Januari 2013

cinta

Kegilaan baru ini benar benar meresahkan. Namun, resah ini lain. Sepertinya, kegilaan ini langsung mengoyak sunyi. Bahagia. Ya, bahagia ini juga meresahkan. Namun, resah ini tak dapat dilakar. Sungguh meresahkan sekali. Amat.

Nampaknya, aku perlu cari kesunyian dalam kegilaan ini. Harus membiasakan diri. Supaya gila aku ini, mampu untuk terus bernafas di dalamnya.

Selasa, 1 Januari 2013

Selamat Tahun Baru!

Malam tahun baru aku disambut di sebuah kafe kolej sedari pukul 9 malam sambil mengusutkan kepala berbincang tentang subjek bersama rakan tahun satu. Seusai perbincangan, aku keluar minum bersama rakan rakan sambil melepak di bawah hujan renyai.

Gagal.